Quantcast
Channel: Berita Sabah – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 2674 articles
Browse latest View live

Dua pasangan kekasih suspek samun bersenjata Labuan House dicekup

$
0
0

Chandra menunjukkan keratan menunjukkan gambar suspek yang sedang diburu.

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas saki baki suspek yang terlibat dengan kes samun bersenjata membabitkan pejabat milik usahawan makanan segera berpangkat Datuk di Labuan House, Luyang dengan tertangkapnya dua pasangan kekasih di ibu negeri baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata dua pasangan kekasih itu yang berusia lingkungan 21 hingga 22 tahun telah ditahan berhampiran pasar besar ibu negeri di dalam kenderaan jenis Honda Civic yang dinaiki mereka sekitar jam 8 malam.

“Hasil maklumat awam dan risikan, pada Ahad lepas sekitar jam 8 malam lalu sepasukan polis telah berjaya mengesan serta menyerbu keempat-empat suspek iaitu dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai pasangan kekasih di dalam sebuah Honda Civic.

“Setelah diperiksa, kita berjaya menemui beberapa barangan seperti sebilah samurai, pemutar skru, sejenis senjata buku lima, pengumpil besi, dompet dan jam tangan yang kesemuanya dipercayai berhubung kait dengan kejadian samun tempoh hari di Labuan House,” katanya.

Mengulas lanjut, Chandra berkata dua wanita yang ditahan itu dikatakan pelajar kolej swasta tempatan sementara pasangan mereka tidak bekerja dan dipercayai terlibat secara langsung dengan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, susulan tangkapan pasangan kekasih itu pihaknya berjaya membawa kepada penemuan dan pencarian seorang lagi suspek yang difahamkan antara dalang utama kes samun itu.

“Hasil soal siasat susulan tangkapan itu, kita akhirnya berjaya mengesan seorang lagi suspek yang masih belum ditahan.

“Suspek itu dikenali sebagai Mohd Riddzy Foo berusia 20 tahun dan alamat kali terakhir di Lot 7 Taman Nosoob Jaya, Fasa 1 Jalan Kobusak Penampang.

“Sehubungan itu, kita meminta kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek untuk terus menghubungi Inspektor Jamirin Tintai di talian 016-5877111 atau 088-24211 bagi membantu siasatan,” katanya.

Setakat ini, 11 individu telah ditahan dengan enam daripadanya dituduh di mahkamah berhubung kejadian samun membabitkan kerugian hampir RM400,000 kepada pemilik kediaman jenis banglo yang dijadikan pejabat urusan perniagaan makanan segera.

Kes terbabit disiasat mengikut 395/397 Kanun Keseksaan.


Polis cekup kerani syarikat

$
0
0

ANTARA barangan yang berjaya dirampas polis di lokasi tertangkapnya suspek berhampiran Kampung Tanjung Aru Baru kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang kerani syarikat swasta ditahan polis setelah didapati terlibat dengan kes pecah masuk sebuah premis perniagaan di Asia City membabitkan kerugian lebih RM18,000 kelmarin.

Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi oleh sepasukan polis dan hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan, beberapa barangan ditemui, termasuk wang tunai berjumlah RM9,000 yang dipercayai hasil daripada ‘aktiviti’ suspek.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra, berkata berdasarkan maklumat dan risikan, pihaknya mendapati suspek terlibat dengan kejadian pecah masuk sebuah premis perniagaan di Asia City pada 27 Julai lalu.

“Menurut mangsa yang melaporkan kejadian itu, premis berkenaan dipecah masuk dan antara barang yang hilang adalah wang tunai RM15,000, perakam litar tertutup (CCTV), sejumlah mata wang asing dan seunit komputer riba.

“Susulan maklumat berkenaan, pada 14 Ogos lepas sekitar jam 1 pagi, sepasukan polis akhirnya berjaya menahan suspek di sebuah rumah berhampiran Kampung Tanjung Aru Baru.

“Hasil pemeriksaan di lokasi itu, kita menemui beberapa barangan antaranya wang tunai RM9,000, external hardisk, telefon bimbit dan empat kunci kenderaan yang kesemua dipercayai berkaitan dengan aktiviti jenayah suspek,” katanya.

Chandra berkata dengan penangkapan suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes membabitkan kejadian pecah masuk di sekitar ibu negeri sepanjang tempoh dua bulan lalu.

“Kita masih melakukan soal siasat berhubung sama ada suspek turut terlibat dengan beberapa kejadian pecah masuk yang lampau.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek melakukan aktiviti jenayahnya secara berseorangan dan sehubungan itu, kita mengklasifikasikan ianya selesai,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Anwar main ‘sandiwara’ demi kelangsungan politiknya

$
0
0

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bermain “sandiwara” demi kelangsungan politiknya yang kian lemah.

Beliau berkata, Anwar cuba memanipulasi keadaan demi kepentingan dirinya selepas gagal menjadi perdana menteri.

“Beliau (Anwar) kini memikirkan kerajaan perpaduan dan mengetepikan rakan-rakannya dalam Pakatan. Beliau hanya berminat akan kuasa politik untuk dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Likas, dekat sini malam kelmarin.

Antara yang hadir ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan pemimpin-pemimpin negeri.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri diminta mengulas kenyataan Anwar baru-baru ini mengenai perkara itu.

Anwar dipetik sebagai mengesahkan kononnya beliau menerima tawaran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai “kerajaan perpaduan”.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, dalam kenyataan pada Jumaat menafikan wujud perbincangan mengenai cadangan kerajaan perpaduan antara Najib dan ketua pembangkang itu.

Menurut kenyataan itu, sebarang bentuk perbincangan tidak akan berlaku selagi Anwar dan pembangkang terus menolak dan mempersoalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Salleh berkata Barisan Nasional (BN) pastinya tidak berminat dengan Anwar, menyatakan “kerajaan perpaduan tidak timbul langsung”.

“Beliau (Anwar) mencuba nasibnya. BN sebuah organisasi matang dan Najib seorang ahli politik yang ‘very gentleman’ (amat budiman).

“Kita semua boleh bekerjasama untuk membangunkan negara tanpa mengira fahaman politik kita,” katanya. — Bernama

Ejen PKR dakwa kertas undi dikira sekali sahaja

$
0
0

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya semalam diberitahu oleh seorang ejen mengundi PKR bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, Ainin Akon bahawa ketua tempat mengundi di saluran mengundi tempat beliau bertugas membuat pengiraan undi sekali sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas.

Baginya kertas undi perlu dikira dua atau tiga kali, tetapi ketua tempat mengundi di saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan Indaraon Laut, berkata tidak perlu.

“Saya ada membuat bantahan. (Tetapi) KTM (ketua tempat mengundi) berkata tidak payah kira (kertas undi) lagi kerana kotak undi akan dibawa ke Dewan Masyarakat Kota Marudu. Di sana akan kira lagi,” katanya.

Ainin memberi keterangan pada mahkamah itu yang mendengar petisyen pilihan raya terhadap kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU13.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak diberikan salinan Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak.

“Saya sepatutnya diberikan salinan Borang 14. Tetapi KTM tidak menyerahkan salinan borang kepada saya dan KTM berkata telah diberi arahan oleh pegawai pengurus supaya tidak mengedarkan Borang 14 kepada sesiapa,” katanya.

Dalam petisyen itu, calon PKR Datuk Maijol Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 13 Ogos lepas, Hakim Datuk Yew Jen Kee memutuskan supaya dakwaan amalan rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, tetapi Ongkili kekal sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan. — Bernama

Kereta meletup dan terbakar

$
0
0

KOTA KINABALU: Suasana perkarangan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertukar gamat berikutan kejadian sebuah kenderaan yang terbakar berhampiran bulatan jalan Kampung Air, di sini kelmarin.

Difahamkan, kejadian sekitar jam 9 pagi itu berlaku ketika berlangsung prosiding petisyen pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di mahkamah, di mana sebuah kereta jenis Toyota Corrola yang dipandu seorang lelaki berusia lewat 30an secara tiba-tiba terbakar.

Menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Henry, sewaktu kejadian dia sedang dalam perjalanan menuju ke Kampung Air dari arah Jalan Gaya sebelum terdengar bunyi letupan dari arah kenderaan itu.

“Saya terdengar bunyi letupan datang dari bahagian enjin dan tanpa melengah-lengahkan waktu, saya kemudiannya membuka tali pinggang keselamatan lalu keluar dari kenderaan.

“Setelah itu barulah saya menyedari api mulai marak di bahagian hadapan kereta kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Sabah, Mohd Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit sekitar jam 9.55 pagi dan sepasukan anggota digegaskan ke lokasi bagi operasi memadamkan api.

“Sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota telah digegaskan ke lokasi kejadian dan operasi tamat pada jam 10.26 pagi.

“Kejadian itu membabitkan sebuah kereta jenis Toyota yang telah memusnahkan hampir 80 peratus kenderaan berkenaan,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat.

Isteri maut ditikam suami

$
0
0

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa di rumah kongsi berhampiran tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan kelmarin.

KOTA KINABALU: Angkara terlalu cemburu, seorang lelaki warga asing menikam isterinya sendiri sehingga mati dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan, dekat sini, pagi kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Suria Amuk, 45, meninggal dunia di tempat kejadian, akibat kecederaan parah di bahagian badan selepas ditikam beberapa kali oleh suspek menggunakan senjata tajam dalam insiden sekitar jam 9.45 pagi berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran lokasi sedang berehat di tempat penginapan mereka, sebelum didatangi oleh suspek yang kemudian menengkingnya.

Difahamkan berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri terbabit. Suspek mendakwa isterinya berlaku curang serta menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketika pergaduhan itu, suspek dipercayai meluru ke dalam rumah dan mengambil sebilah pisau sebelum menikam mangsa beberapa kali sehingga mati.

Suspek kemudian menyerah diri kepada polis yang tiba sejurus kemudian di lokasi kejadian.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan menahan suspek yang menyerah diri. Polis menerima maklumat berhubung kes itu sekitar jam 9.50 pagi.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan awal, kita mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badannya,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata pihaknya tidak menolak motif kejadian itu disebabkan cemburu kerana suspek dikatakan mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan individu lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Rogol: Pemandu lori dipenjara 18 tahun, 10 sebatan

$
0
0

LAHAD DATU: Seorang pemandu lori warga asing menerima padah akibat merogol seorang gadis, apabila dijatuhkan hukuman 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin.

Hakim M. Rajalingam menjatuhkan hukuman itu ke atas Jamaluddin Ramlan, 25, yang disabit bersalah atas tuduhan merogol dan meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan dan kematian mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan ialah penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh juga dikenakan sebatan.

Tertuduh didakwa merogol mangsa di ruang rehat, belakang tempat duduk dalam lori di bahu jalan Kilometer 20 Jalan Lahad Datu-Sandakan pada 21 Januari tahun ini kira-kira jam 10 pagi.

Mengikut fakta kes, mangsa mengenali tertuduh dua bulan sebelum kejadian di mana dia sering  berurusan kerja dengan tertuduh di timbangan buah kelapa sawit.
Pada hari kejadian, tertuduh mulanya mendatangi mangsa di kuaters kediaman dengan meminta mangsa membuka pintu belakang dan mengugut memalukannya.

Setelah membuka pintu tertuduh bertindak merampas telefon bimbit dan mengeluarkan kad sim mangsa lalu menuju ke dapur mengambil pisau pemotong sayur.

Sekali lagi dengan ugutan jika enggan mengikutinya menaiki motosikal, mangsa akan dicederakan.

Tertuduh kemudiannya membawa mangsa ke sebuah bukit di Putatan, dekat sini sebelum beredar ke bengkel untuk membawa mangsa menaiki lorinya.

Semasa di tempat kejadian, mangsa diugut akan dicederakan sekiranya tidak menuruti kemahuan tertuduh dan selepas peristiwa malang itu, mangsa dibawa balik ke kediamannya.

Hasil laporan pemeriksaan pegawai perubatan daerah, mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada hymen mangsa. Manakala tertuduh ditahan oleh pihak polis pada 2 Februari tahun ini di rumahnya di Kampung Wawasan dekat sini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar.

Media dipilih jadi bahan terancang pengajaran

$
0
0

KASIM (tiga kiri) ketika menerima cenderahati daripada Ahamad (kiri) selepas perasmian persidangan itu.

KOTA KINABALU: Media bukan sahaja dipilih sebagai alat bantu mengajar, tetapi ia juga menjadi bahan yang terancang dalam pengajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Jame Alip berkata penggunaan media dalam pengajaran dapat mengintegrasikan aspek perancangan, pemilihan, pengubahsuaian dan penggunaan.

“Model Assure dalam bidang pendidikan memberi panduan kepada guru tentang penggunaan media secara lebih berkesan dan sesuai dengan tahap serta profil pelajar.

“Ia merangkumi analisis ciri pelajar, penyataan objektif, memilih dan menggunakan kaedah, media dan bahan, memerlukan penyertaan pelajar, serta menilai dan mengulangkaji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Teknologi Pendidikan Negeri sabah Kali ketiga (Teknopen kinabalu) 2013 di sini kelmarin. Teks ucapannya disampaikan oleh Ketua Sektor Jabatan Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Sabah, Dr Mohd Kasim Mohd Ibrahim.

Jame berkata, kebiasaan terhadap penggunaan kaedah tradisional menjadikan ada sebahagian guru yang sukar membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional.

Katanya, ledakan kemajuan komunikasi teknologi maklumat (ICT) memberi cabaran baru kepada kerjaya keguruan dan sistem pendidikan di sekolah yang masih belum mengalami perubahan yang drastik.

Perubahan berkenaan katanya, termasuklah dari segi pengadaptasian penggunaan teknologi baru seperti komputer, digital dan ‘e-learning’.

“Justeru, dengan adanya persidangan Teknopen ini, ia memberi pendedahan kepada warga pendidik dengan kaedah yang memperkasakan sekolah melalui penyelidikan.

“Ini kerana, penyelidikan adalah salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah yang banyak kebaikan.

“Antaranya, dapat membantu guru berhubung dengan penambahbaikan kebiasaan atau budaya pengajaran dalam bilik darjah, menyediakan ruang kepada guru untuk menggilap kreativiti dan inovasi serta membantu guru memperkembangkan profesionalisme melalui proses kendiri,” katanya.

Selain tu, Jame turut menyeru agar warga pendidik lebih berfikiran optimistik untuk melihat potensi yang terdapat dalam dunia sains dan teknologi.

Ia katanya, bagi menjayakan usaha melahirkan generasi berkualiti dalam segenap aspek kehidupan.

Sempena dengan Persidangan Teknopen kali ini, sebanyak 15 pembentangan dan tiga ucaptama disampaikan.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah yang juga Pengerusi Pengelola, Ahamad Jais.

 

 


Penjaja serang pegawai MPS ditahan

$
0
0

SANDAKAN: Seorang penjaja wanita warga asing ditahan oleh polis di sini kerana menyerang dengan cuba menikam seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata kira-kira jam 12.35 tengah hari Rabu lepas, sepasukan pegawai penguatkuasa MPS membuat tangkapan terhadap penjaja tanpa lesen di hadapan sebuah kedai di Bandar Sandakan.

“Ketika pemeriksaan, mereka mendapati wanita berumur 30an terbabit yang hanya memiliki dokumen IMM13, tidak mempunyai lesen perniagaan.

“Mereka kemudian menyita barang-barang perniagaan milik wanita terbabit, dan menyebabkan suspek marah lalu mengeluarkan sebilah pisau dari beg pinggangnya dan cuba menikam salah seorang pegawai penguatkuasa tapi dapat mengelak,” katanya.

Rowell memberitahu suspek kemudian ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

“Pisau telah dirampas dan suspek akan ditahan reman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
 

Mayat pemandu kereta sapu ditemui dalam semak

$
0
0

Sepasukan anggota forensik sedang mengusung mayat mangsa yang ditemui dalam semak Kampung Binaung Baru, Menggatal kelmarin.

KOTA KINABALU: Penduduk di Kampung Binaung Baru, Menggatal gempar seketika berikutan penemuan mayat seorang pemandu kereta sapu di dalam sebuah semak berhampiran yang difahamkan mati akibat dibunuh.

Mangsa yang merupakan lelaki tempatan dan dikenali sebagai Ibnu Paharan, 29, itu ditemui dalam keadaan tangan serta kaki terikat sementara mulutnya disumbat dengan kain kira-kira jam 7 pagi kelmarin oleh sepasukan anggota Unit Peronda Polis.

Terdahulu sebelum kejadian, beberapa orang awam di situ memaklumkan kepada polis penemuan kenderaan Toyota Unser berhampiran kawasan tangki air kampung itu.

Susulan daripada maklumat itu, polis kemudiannya bergegas ke lokasi itu namun gagal menemui pemandu kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata Toyota itu telah dibawa ke Balai Polis Menggatal untuk tindakan lanjut dan hasil siasatan awal mendapati ianya adalah milik sepupu mangsa di Sandakan.

“Sepupu mangsa turut memaklumkan bahawa kenderaan itu telah dipandu oleh mangsa dari Sandakan ke Kota Kinabalu untuk menghantar ibu saudara mereka.

“Susulan daripada itu, kita telah kembali semula ke tempat kejadian dan berjaya menemui mayat mangsa di kawasan semak kira-kira jam 50 meter dari lokasi kenderaan terbabit ditemui.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan awal, kita mendapati mayat, kaki dan tangan mangsa telah diikat manakala mulutnya telah ditutup dengan kain sementara turut terdapat beberapa kesan luka di leher serta tengkuk yang dipercayai ditetak dengan objek tajam,” katanya.

Jauteh turut tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh terlebih dahulu sebelum mayatnya dicampak ke kawasan semak berhampiran kampung berkenaan.

“Kita masih menyiasat motif pembunuhan ini dan polis juga mempercayai suspek yang terlibat adalah lebih daripada seorang.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes untuk tampil membantu siasatan berkenaan.

Kerajaan berusaha tangani masalah, cabaran dihadapi rakyat Sabah

$
0
0

(Dari kiri) Abu Bakar, Mohd Irwan, Ahmad Husni, Teo dan Sukarti semasa perasmian Majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah di Shangrila Tg Aru Resort & Spa pada Khamis.

KOTA KINABALU: Menyedari cabaran yang dihadapi oleh rakyat negeri Sabah yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan akan berusaha menangani permasalah itu sewajarnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan menyeluruh dapat dilaksanakan.

Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata melihat kepada permasalahan itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan isi rumah termasuk di Sabah.

“Antara program dan inisiatif yang dilaksanakan merangkumi program 1Azam, pemberian BR1M, penyeragaman harga, pemberian subsidi pengangkutan serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Di samping itu, program Skim Latihan 1Malaysia serta usaha menaiktaraf institusi latihan yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan pendapatan belia di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena perasmian Majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah, di Shangri-La Tanjung Aru Resort & Spa, di sini kelmarin.

Ahmad Husni berkata, usaha-usaha yang dilaksanakan itu telah menyumbang ke arah pengurangan kadar kemiskinan isi rumah Sabah daripada 19.7 peratus pada tahun 2009 kepada 8.1 peratus pada tahun 2012.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha memakmur dan mensejahterakan rakyat secara menyeluruh. Ia bersesuaian dengan tema Majlis Konsultasi Bajet 2014 ‘Mengotakan Janji, Merancak Transformasi’.

Menyentuh mengenai sumbangan ekonomi Sabah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beliau berkata Sabah telah menyumbang hampir enam peratus kepada keseluruhan KDNK negara, terutama melalui sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Di samping itu, pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) juga berjaya meyakinkan pelabur dan masyarakat peniaga terhadap prospek ekonomi Sabah.

Ahmad Husni berkata, dalam usaha untuk merealisasikan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, kerajaan sentiasa memantau rapi perkembangan ekonomi global.

“Ia terbukti dengan prestasi ekonomi Malaysia yang mencatat momentum pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus bagi tempoh separuh tahun pertama 2013 walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

“Keyakinan pelabur juga menunjukkan peningkatan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di mana indeks Bursa Malaysia mencatat paras tertinggi sebanyak 1,810 mata pada 24 Julai lalu.

“Perkembangan yang menggalakkan ini berikutan pengurusan makroekonomi yang pragmatik dan asas ekonomi yang kukuh, persekitaran perniagaan yang kondusif serta aktiviti ekonomi yang pelbagai,” katanya.

Berkenaan pengurusan kewangan pula, Ahmad Husni berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

Untuk itu, semasa Majlis Konsultasi Bajet 2014 di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Polisi Fiskal bagi mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kedudukan kewangan dan memastikan kemapanan fiskal dalam jangka panjang.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan mensasarkan defisit sebanyak tiga peratus kepada KDNK pada tahun 2015 berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012 dan seterusnya empat peratus pada tahun ini.

Katanya, Bajet 2014 dijadual akan dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan di Parlimen pada 25 Oktober akan datang.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata majlis seumpama itu penting sebagai paltform untuk kerajaan khususnya Kementerian Kewangan berinteraksi dengan masyarakat peniaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat mengenai langkah-langkah yang sesuai untuk diumumkan dalam Bajet 2014.

Beliau yakin melalui majlis seperti itu, idea baharu akan dikemukakan dan secara langsung, ia akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah dan Malaysia.

Turut hadir di majlis itu adalah Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan.

Remaja 16 tahun bawa flying feather diberkas di Ice Box

$
0
0

ANTARA barang yang disyaki milik suspek yang dirampas di Kg Ice Box, Tawau.

TAWAU: Pihak polis memberkas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun kerana disyaki memiliki 13 unit senjata berbahaya semasa berada di kawasan Kg Ice Box di sini dekat pusat bandar pada awal pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, suspek diberkas kira-kira jam 6.45 pagi semasa sepasukan polis mengadakan rondaan di sekitar kawasan terbabit sebelum terserempak dan menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.

“Semasa hendak diperiksa, suspek cuba melarikan diri namun sempat ditangkap,” katanya di sini kelmarin sambil mengesahkan rampasan melibatkan 10 anak panah flying feather, dua alat pelepas panah, sebilah pisau kecil dan sebuah sarung beg kecil berwarna hitam.

Awang berkata, sarung beg kecil berwarna hitam terbabit ditemui di bahagian poket kiri seluar suspek yang berisi empat batang anak panah flying feather dan sebuah alat pelepas panah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan suspek ditangkap pula, pihak polis menjumpai enam batang anak panah flying feather, sebuah alat pelepas panah terbabit dan sebuah pisau kecil berukuran lebih kurang dua meter.

“Suspek remaja berketurunan Bajau itu dan semua barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan siasatan awal menunjukkan suspek tidak memiliki sebarang keterangan diri,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

 

Empat cedera terkena renjatan elektrik

$
0
0

PIHAK SESB ketika melawat lokasi kejadian yang menyebabkan empat orang kontraktor cedera selepas terkorek talian bawah tanah.

SANDAKAN: Empat orang kontraktor syarikat telekomunikasi cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang membuat kerja-kerja penanaman tiang telekomunikasi di Jalan Pasir Putih di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, kontraktor berkenaan yang membuat kerja-kerja penanaman tiang telah terkorek kabel elektrik bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ekoran daripada kejadian itu, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir  Ahmad Fuad Md Kasim dalam satu kenyataan berkata dianggarkan 3,000 pengguna di sekitar kawasan Pasir Putih hingga Bandar Maju di daerah ini terputus bekalan elektrik.

Anggaran awal kerugian adalah sebanyak RM10 ribu dan pihak SESB juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, bekalan elektrik berjaya dipulihkan secara berperingkat-peringkat bermula jam 10.35 pagi pada hari yang sama.

Beliau turut menasihatkan semua kontraktor pembangunan yang bercadang untuk membuat kerja-kerja pembangunan berhampiran pepasangan elektrik sedia ada agar memaklumkan pihaknya terlebih dahulu.

Fuad berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan langkah-langkah awal dapat diambil oleh SESB agar kejadian seperti terkorek kabel SESB, kemalangan elektrik ataupun gangguan elektrik dapat dielakkan.

Sementara itu, Jurutera Elektrik SESB Sandakan, Sudalli Sabtuahim ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu kontraktor syarikat telekomunikasi berkenaan dipercayai terkorek talian 33 kilovolt (kV) Karamunting Leila dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik berlaku.

Katanya, selepas pemulihan bekalan elektrik dilakukan, pihaknya telah melawat mangsa terlibat yang kemudiannya dilaporkan stabil oleh pihak Hospital Duchess of Kent.

“Kesemua mangsa lelaki yang berumur lingkungan 20an hingga 40an itu dimasukkan ke bahagian wad kecemasan dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya sambil menambah, pihak SESB tidak ada menerima sebarang makluman mengenai kerja-kerja pemasangan tiang oleh syarikat telekomunikasi itu.

Dalam pada itu, saksi kejadian memberitahu dua daripada pekerja kontraktor terlibat muntah darah selain keadaan mereka trauma dan lemas selepas kejadian itu berlaku.

Kedai runcit musnah terbakar

$
0
0

SANDAKAN: Sebuah kedai runcit jenis sementara musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Kampung Cahaya Baru, di sini pagi kelmarin.

Turut terbakar gerai buah-buahan dan dua buah rumah jenis papan yang bersambung dengan kedai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.08 pagi dan tiba di lokasi kejadian jam 11.10 pagi.

Katanya, api dapat dikawal pada jam 11.20 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 12.20 tengah hari.

Seramai 23 anggota bersama dua jentera dan tiga kenderaan utiliti ditempatkan di lokasi kejadian.

Jemishin berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan

Dalam pada itu, Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Ordine Gilu menasihati orang ramai agar lebih peka dengan situasi semasa.

Katanya, ia termasuk memberi laluan dengan melapangkan kawasan seperti tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan mahupun laluan.

Ia penting bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini termasuk mengganggu kelancaran perjalanan jentera bomba serta anggota yang bertugas dan bergegas ke lokasi kejadian yang lain.

Katanya, ia penting agar usaha membantu dan menyelamat dapat dilaksanakan dengan secepatnya.

Impian remaja OKU mendaki Gunung Kinabalu bakal tercapai

$
0
0

Doriah dan Saiful melihat kain rentang yang menunjukkan gambar puncak Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU: Walau diri punya kekurangan, remaja orang kurang upaya (OKU), Saiful Dawang, yang sudah lama berhasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu, akhirnya mampu merealisasikan impiannya.

Hasrat itu bakal menjadi realiti apabila Saiful, 21, yang mengalami kecacatan badan terpilih menjadi 10 peserta untuk menyertai XPDC Mendaki Gunung Kinabalu, yang buat pertama kalinya dianjurkan oleh Jabatan perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA).

Sewaktu kecil, melihat Gunung Kinabalu dari kampungnya di Kampung Pirasan, Kota Belud, dia sudah menyimpan hasrat untuk mendaki gunung itu suatu hari kelak.

“Saya sangat teruja dan gementar tetapi dalam masa yang sama, saya amat berterima kasih kepada JPKA kerana mampu merealisasikan impin saya untuk menawan puncak Gunung Kinabalu. Ini impian saya sejak dari kecil lagi,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Bendera XPDC Mendaki Gunung Kinabalu, di sini pada Khamis.

Saiful kini sedang mempelajari Kursus Membuat Perabot di Kompleks Pemulihan Kompleks Pemulihan Orang Kurang Upaya Kimanis (KPOKU), Papar.

Anak muda ini bakal mewakili Malaysia dalam Sukan Asia Paralimpik yang akan diadakan di Myanmar pada tahun 2014.

Pada tahun lalu, semasa Sukan Paralimpik peringkat kebangsaan, dia berjaya meraih pingat emas untuk acara larian 100 dan 200 meter serta acara lompat jauh.

Saiful adalah antara 10 pelatih bertuah yang bakal mendaki Gunung Kinabalu dalam XPDC yang akan diadakan bermula pada 25 hingga 27 Ogos ini sempena Sambutan 50 Tahun Sabah Maju Jaya dalam Malaysia.

Dalam kumpulan sama, terdapat seorang lagi atlet paralimpik kebangsaan iaitu Doriah Paulus, yang akan bersama-sama Saiful menyertai Sukan Paralimpik Asia 2014.

Doriah yang mengalami kecacatan kaki pernah mewakili Malaysia dalam UAE pada tahun ini dan berjaya memenangi pingat emas dan perak.

Remaja berusia 27 tahun dan berasal dari Kampung Bunga Raya, Keningau menyatakan bahawa dia merasa sangat gembira kerana terpilih untuk mendaki Gunung Kinabalu yang merupakan lambang kemegahan negeri Sabah.

Dalam kegembiraan terpilih sebagai 10 peserta ini, dia juga merasa agak gementar untuk mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Sebagai persediaan untuk mendaki, Saiful dan Doriah menyatakan bahawa mereka menjalani latihan hamper setiap hari di Taman Rekreasi Bukit Padang.

“Hampir setiap hari kami berulang-alik dari Kimanis ke Bukit Padang. Kami memulakan perjalanan pada jam 1 petang dan apabila sampai di Bukit Padang, kami akan mula berjalan di sekitar tasik dan laluan ke atas bukit.

“Selepas itu, kami akan berehat sebentar sebelum menyambung semula rutin itu sehingga hari malam dan kemudian barulah kami pulang semula ke Kimanis,” kata mereka.

Kedua-dua mereka berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk sampai ke puncak gunung kerana mereka ingin menjadi contoh kepada golongan seperti mereka bahawa OKU juga mampu mendaki Gunung Kinabalu sama seperti orang normal yang lain.

 


Mosti tawar dana RM660 juta

$
0
0

KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh dana melibatkan peruntukan sebanyak RM660 juta ditawarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk projek berkaitan penyelidikan, pembangunan serta pengkomersilan (R, D & C).

Menterinya, Datuk Dr Ewon Ebin berkata dana berkenaan merangkumi dana sains, dana pra-komersilan, dana pembangunan dan penyelidikan pengkomersilan.

Sehubungan itu, pihaknya menggalakkan kepada mereka yang berminat khususnya di negeri Sabah dan Sarawak supaya mengambil peluang untuk memohon menyertai projek yang ditawarkan.

Ini kerana, beliau melihat kedua-dua negeri berkenaan mempunyai potensi tinggi dan kaya dengan sumber alam semulajadi bagi pelaksanaan projek R, D & C.

Walau bagaimanapun jelasnya, penyertaan dari Sabah dan Sarawak masih dianggap kecil berbanding negeri di Semenanjung.

“Dana yang ditawarkan ini adalah kesinambungan pembiayaan dana R, D & C di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) bagi pelan pusingan ketiga (2012/2013).

“Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 1,168 projek diluluskan dengan melibatkan nilai sejumlah RM474.35 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sesi Dialog dan Taklimat Mengenai Dana Mosti peringkat Zon Sabah, di sini kelmarin.

Ewon berkata, mereka yang belum membuat permohonan pembiayaan diminta segera melakukannya kerana masih terdapat baki peruntukan yang belum diagihkan.

Katanya, keprihatinan kerajaan dalam menyediakan dana bagi menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi bertepatan dengan cabaran dan daya saing sekarang.

“Usaha ini bertepatan dalam era di mana negara di dunia saling bersaing untuk meningkatkan daya saing dan kadar pertumbuhan ekonomi masing-masing.

“Malaysia akan terpinggir sekiranya tidak berusaha meningkatkan daya saing negara di arena antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sesi berkenaan turut diselitkan dengan sesi klinik permohonan dana bagi membantu bakal pemohon mengisi borang permohonan sebagaimana yang dikehendaki.

Ewon berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah sesi dialog berkenaan buat kali kedua.

Katanya, sebanyak 16 projek yang dilaksanakan di Sabah dalam RMKe-10 dan 62 projek pada RMKe-9 turut mendapat kerjasama baik daripada UMS khususnya dalam industri marin, rumpai laut dan akuakultur.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan; Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Dr Rosli Mohamed, dan Naib Canselor, UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

 

PPM Tawau rampas barang seludup bernilai RM124,000

$
0
0

ROKOK kretek yang dirampas.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas pelbagai barangan bernilai kira-kira RM124,000 termasuk kayu bakau yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan menerusi empat kes berasingan Operasi Landai di sekitar perairan Tawau pada Rabu lepas.

Menurut Komander PPM (Wilayah 4) Sabah, ACP Mohammad Madun, pihaknya turut memberkas enam suspek yang terdiri daripada tiga juragan dan tiga awak-awak dalam operasi terbabit yang diadakan antara jam 3.55 pagi dan jam 7.10 malam.

“Keempat-empat kes direkodkan di sekitar kawasan laut Tanjung Batu, muara Sg Manusi, Merotai dan perairan daerah ini turut membabitkan rampasan buah kelapa sawit dan rokok kretek,” katanya di sini kelmarin.

Mohammad berkata, kejayaan pertama melibatkan rampasan kayu bakau melibatkan seorang juragan dan dua awak-awak di sebuah bot pam yang membawa 58 batang kayu bakau yang disyaki ditebang di kawasan hutan simpan Jabatan Perhutanan Sabah.

Kes kedua pula membabitkan rampasan 10 tan buah kelapa sawit tanpa permit yang dipercayai cuba dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran di sebuah bot jongkong oleh seorang juragan dan seorang awak-awak pada jam 5.30 pagi.

“Dalam kes pertama, juragan dan awak-awak yang ditahan serta barang rampasan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 8H Akta Perhutanan.

“Manakala, kes kedua pula akan diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah, seorang juragan yang dikesan membawa 15 tan kelapa sawit menerusi bot jongkong tanpa permit sah turut diberkas lima minit kemudian.

Mohammad berkata dalam kes ketiga, suspek seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun ditahan bersama barangan kes kerana melanggar Peraturan dan Akta Kuarantin Jabatan Pertanian Negeri Sabah mengikut Akta Pertanian.

Menyentuh mengenai kes keempat pula, beliau berkata pihaknya merampas 440 karton rokok sekitar jam 7.10 malam sebaik mengesan sebuah bot laju yang bergerak dari arah negara jiran dan memasuki kawasan perairan negara.

“Pasukan kita cuba mengejar bot laju itu sebelum mengesan perbuatan juragan bot berkenaan yang bertindak membuang beberapa objek ke laut,” katanya sambil menyatakan pasukannya cuba memintas namun sedikit sukar akibat cuaca yang gelap.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut di lokasi barang yang dibuang oleh juragan bot itu, pasukannya berjaya menemui 440 karton rokok jenis Surya Menthol yang disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran.

Mohammad berkata, kesemua barang kes terbabit dibawa balik ke Pangkalan PPM Tawau dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan seterusnya.

 

 

Bawa samurai, rempit antara ditahan dalam sekatan Ops Cantas

$
0
0

 

PENAMPANG: Empat lelaki ditahan polis setelah beberapa senjata tajam yang ditemui di kenderaan mereka dalam sekatan jalan raya bersempena Ops Cantas Khas berhampiran Taman Jumbo, Petagas di Jalan Putatan-Kota Kinabalu kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi itu, sekumpulan lelaki sedang menuju ke pusat bandar dari Putatan sebelum ditahan polis pada sekatan berkenaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, sebaik bonet belakang kereta jenis Proton Iswara Aerobik dinaiki mereka diperiksa, pihak polis yang bertugas berjaya menemui beberapa jenis senjata tajam termasuk sebilah pedang samurai dan pisau pemotong daging.

Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 30an dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, di Jalan Yuk Min, Penampang Lama pula menyaksikan sekumpulan remaja ‘mat rempit’ sanggup bergadai nyawa dengan melawan arus jalan raya semata-mata mahu meloloskan diri daripada sekatan di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan itu akhirnya membawa padah apabila lima remaja bermotosikal berjaya dicekup polis dan ketika ditahan, kesemua mereka mengaku tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata seramai sembilan individu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada jam 10 malam hingga 2 pagi itu membabitkan beberapa laluan di kawasan Penampang dan Putatan.

“Kita berjaya menahan sembilan individu atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen menunggang motosikal dan lain-lain.

“Seramai 160 pengguna jalan raya telah diperiksa dalam Ops Cantas kali ini dan operasi berkenaan akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi menangani jenayah di sekitar daerah Penampang secara amnya,” katanya.

 

 

Seorang maut dan lima parah kemalangan

$
0
0

Beginilah keadaan lori dan van sekolah yang terbabit dalam kemalangan itu.

SANDAKAN: Seorang pelajar maut manakala lima cedera parah dan 15 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van sekolah yang bertembung dengan sebuah lori muatan simen dalam kejadian berhampiran simpang Ulu Dusun di Batu 31 Jalan Labuk, di sini tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong yang mengesahkan kejadian itu berkata mangsa yang maut adalah pelajar lelaki dikenali sebagai Eddy Wallfired Eleazer Benjasor Hendry, 13, yang duduk di bahagian hadapan tempat penumpang.

“Tiga mangsa yang parah dihantar ke Hospital Duchess of Kent manakala dua lagi mangsa yang parah dan semua yang cedera dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk rawatan.

“Semua mangsa yang cedera kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Rowell berkata ketika kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, lori muatan simen itu bergerak dari arah Sandakan ke Lahad Datu manakala van sekolah yang membawa para pelajar sekolah berumur 13 hingga 16 tahun dari SMK Segaliud itu dalam perjalanan ke Batu 30.

“Bas sekolah berkenaan mengangkut seramai 13 pelajar SMK Segaliud dan tujuh orang lagi murid dari Sekolah Kebangsaan Ulu Dusun,” katanya sambil menambah, pemandu van terbabit mengalami patah tulang.

Walau bagaimanapun, Rowell memberitahu pemandu lori berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kemalangan terbabit.

 

 

Mangsa bot karam ditemui mati lemas

$
0
0

SANDAKAN: Mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama empat rakannya yang terselamat dijumpai lemas oleh penduduk Kampung Pulau Bakungan Besar, pagi kelmarin.

Pegawai Memerintah Pasukan Polis Marin Sandakan, ASP Amran Che Mat Noor berkata mangsa dikenali sebagai Rozylee Rapaih, 32, dijumpai oleh penduduk kira-kira jam 7 pagi.

Pihaknya yang menerima maklumat berhubung penemuan itu kemudiannya menghantar mayat mangsa ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, mangsa bersama empat rakannya telah keluar memancing ke Pulau Libaran kira-kira jam 9 malam pada Sabtu lepas.

“Kira-kira 30 dalam perjalanan, bot yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ribut berhampiran Pulau Libaran,” katanya.

Amran berkata, empat rakan mangsa yang berumur 20 hingga 27 tahun berjaya diselamatkan oleh nelayan pada Ahad di mana dua ditemui sekitar jam 3 pagi dan dua orang lagi jam 9 pagi.

Gerakan mencari mangsa telah dilancarkan oleh pihak APMM dan Jabatan Bomba di sekitar perairan berkenaan.

 

 

Viewing all 2674 articles
Browse latest View live