Quantcast
Channel: Berita Sabah – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 2674 articles
Browse latest View live

Hari Raya meriah di Tawau dan Lahad Datu

$
0
0

TAWAU: Aidilfitri di-sambut meriah di Tawau dan Lahad Datu walaupun timbul desas-desus sebelum ini bahawa kumpulan pengganas Kesultanan Sulu dari selatan Filipina akan melakukan gelombang kedua pencerobohan.

Walaupun desas-desus itu turut menyebut akan berlaku penculikan dan kekacauan, ia tidak menampakkan suasana panik mahupun kerisauan dalam kalangan umat Islam dalam menyambut Hari Raya di dua daerah ini.

Di Lahad Datu yang me-nyaksikan pencerobohan oleh kumpulan militan itu awal tahun ini, lawatan dari rumah ke rumah sanak saudara meriah seperti tahun-tahun lalu dan majlis rumah terbuka diada-kan sepanjang hari pertama dan kedua Hari Raya.

Majlis Rakyat Hari Raya turut diadakan di Kampung Labian, salah satu lokasi yang diceroboh pengganas Kesultanan Sulu dengan persem-bahan hiburan oleh finalis Akademi Fantasia, Mila.

Di Tawau, tinjauan Bernama terutamanya di lokasi yang dikhabarkan menjadi sasaran penceroboh iaitu pusat pemunggahan barangan perniagaan ‘tukar barang’  Sabindo, sehingga Hari Raya pertama menyaksikan aktiviti berjalan seperti biasa sehingga awal pagi.

Kawasan perniagaan ‘tukar barang’ Sabindo sepanjang kira-kira 1,000 meter menghadap lautan terbuka, turut digunakan sebagai laluan ke Nunukan dan Tarakan, di Indonesia selain ke pulau-pulau kecil selatan Filipina seperti Tawi-Tawi yang di-diami masyarakat Tausug dan Suluk.

Peniaga sayur di Sabindo, Abidin Samsudin, 53, meng-akui ada mendengar desas-desus penceroboh akan menyelinap masuk di kawasan berhampiran pemunggahan barangan itu, tempat beliau menjalankan perniagaan.

“Aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa dan kami menyerahkan kepada ke-cekapan pihak berkuasa keselamatan dalam mengawal keadaan,” katanya ketika ditemui.

Abidin yang telah menjalankan perniagaan hampir sedekad di pelbagai lokasi di kawasan pasar Sabindo berkata para peniaga hanya inginkan keamanan.

“Apa yang kita lihat dan dengar selain apa yang telah berlaku di Lahad Datu merupakan satu pengajaran dan teladan kepada kami di Tawau ini,” katanya.

Mariamah Osmang, 55, peniaga keropok ikan berkata majoriti peniaga di kompleks pasar Sabindo hanya mahukan pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa keselamatan di kawasan pemunggahan barangan itu, terjamin.

“Kami tidak mahu mendengar perkhabaran yang menakutkan, walaupun kami percaya dan yakin akan kebolehan pihak keselamatan. Kalau boleh biarlah ada rondaan dari masa ke masa di kawasan pasar ini,” katanya.

Ketua Daerah Polis Tawau ACP Awang Besar Dullah ketika dihubungi Bernama berkata suasana sambutan perayaan aman di daerah ini dan tidak terdapat sebarang kejadian seperti dikhabarkan.

“Masyarakat peniaga menjalankan perniagaan seperti biasa tanpa ada kerisauan, manakala penduduk meraya-kan Hari Raya dengan meriah seperti tahun-tahun lalu. Begitu juga rumah terbuka sejak hari pertama Hari Raya,” katanya.

Awang Besar berkata anggota polis marin bersama Agensi Penguatkuasa Mari-tim Malaysia (APMM) akan terus membuat pemantauan dan melaksanakan operasi rondaan, sementara pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawasi sebarang kemungkinan pencerobohan.

Insiden penceroboh pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara  setelah mereka menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu, pada 12 Februari lepas dan kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati. — Bernama

 

 

 


Mangsa kebakaran tidak mampu bayar deposit rumah PPR

$
0
0

Jaunic membuat pemeriksaan terhadap kanak-kanak.

SANDAKAN: Rata-rata mangsa yang terlibat dalam kebakaran 1 Syawal lepas di Kampung Cenderamata Batu Sapi tidak mempunyai kemampuan untuk membawa deposit bagi menyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang disediakan oleh kerajaan.

Mangsa-mangsa kebakaran meluahkan ketidakmampuan mereka untuk menyewa rumah PPR yang pada mulanya terpaksa membayar deposit sedangkan rata-rata mereka adalah nelayan dan baharu ditimpa bencana.

Ketua Kampung Cenderamata, Normah Abu Gaffar, 63, yang mewakili mangsa kebakaran itu berkata kebanyakan mangsa kebakaran bekerja sebagai nelayan.

“Mereka tidak berkemampuan untuk membayar deposit bagi menyewa rumah PPR berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, rata-rata mangsa telah meluahkan ketidakmampuan mereka itu kepadanya untuk menyewa rumah PPR itu berdasarkan pendapatan rendah.

Dalam pada itu, Normah akan mencuba untuk mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan status kampung bagi wujudkan perkampungan.

“Buat masa ini, terdapat 530 buah rumah dan lebih 3,000 penduduk menetap di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta bantuan wakil rakyat untuk mendapatkan peralatan membina rumah sebagai ringankan beban mangsa yang terlibat.

“Adalah menjadi tanggungjawab wakil-wakil rakyat ini untuk pastikan nasib rakyat di kawasan masing-masing terbela,” katanya.

Sementara itu, seramai 121 orang mangsa kebakaran mendapatkan rawatan semasa lawatan Jabatan Kesihatan Daerah Sandakan ke tapak penempatan sementara di Kampung Cenderamata Batu Sapi, pagi kelmarin.

Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Sandakan, Jaunic Solom berkata pihaknya telah memeriksa 121 orang mangsa kebakaran yang datang untuk mendapatkan rawatan.

“Tahap kesihatan mangsa agak baik dan tiada yang menghadapi penyakit berjangkit,” katanya ketika ditemui selepas membuat rawatan di lokasi kebakaran itu.

Beliau berkata, hanya beberapa orang yang mendapatkan rawatan batuk, selesema dan luka-luka kecil.

Manakala, Pegawai Kebajikan Masyarakat Sandakan, Kasrin Atchil memberitahu bantuan makanan selama tiga hari diberikan kepada mangsa-mangsa kebakaran.

“Buat masa ini, Jabatan Kebajikan salurkan bahan mentah seperti beras dan lauk untuk dimasak di rumah ketua kampung bagi makanan mangsa kebakaran,” katanya.

Kasrin berkata, laporan terkini menunjukkan seramai 87 ketua keluarga dari 70 buah rumah yang terlibat dalam kebakaran itu.

Rumah pekerja musnah terbakar

$
0
0

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadam api dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Batu Arang.

LABUAN: Sebuah rumah pekerja di Kampung Bebuloh Laut musnah dalam satu kejadian kebakaran pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal @Zainal Madasin kelmarin berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.07 petang mengenai kejadian itu.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan bergegas ke lokasi kejadian.

“Para anggota tiba pada jam 2.08 petang iaitu lebih kurang satu minit selepas menerima panggilan itu.

“Rumah yang terbakar itu merupakan rumah kayu yang dihuni oleh pekerja yang mengambil upah bagi membina rumah penduduk di sekitar Kampung Bebuloh Laut,” katanya.

Jainal berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan kerana ketika kejadian itu berlaku, penghuni tidak berada di rumah terbabit.

Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 33 minit dengan bantuan jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat Jawa selain jentera pemadam api dari Balai Bomba dan Penyelamat Layangan.

Manakala, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan ia merupakan kebakaran kedua yang berlaku dalam musim perayaan Hari Raya ini.

Sebelum ini, sebuah lagi rumah kayu milik warga Indonesia di Kampung Batu Arang berhampiran dengan Wisma Wong Wo Lo telah terbakar pada 7 Ogos iaitu malam Hari Raya Aidilfitri.

Pihak Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 8.37 malam, di mana seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jainal berkata, pihak bomba tiba ke tempat kejadian sekitar dua minit selepas menerima panggilan dan berjaya memadam kebakaran itu dalam tempoh 30 minit.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada terus merebak ke lima buah rumah yang lain yang berhampiran dengan rumah yang terbakar itu,” katanya.

Beliau turut berkata, ketika kebakaran itu berlaku, pemilik rumah bersama isterinya sedang berehat di dalam rumah itu.

Tanpa disedari, api telah merebak ke seluruh rumah sehingga tidak dapat dikawal lagi.

“Mujurlah kedua-dua mereka (suami isteri) sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Anggaran kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sebanyak empat buah jentera bomba dan empat buah kenderaan utiliti digunakan dengan pasukan bantuan seraami 11 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan turut hadir membantu dalam operasi itu.

 

Sepasang kekasih dicekup polis dalam kes samun

$
0
0

CHANDRA (tengah) menunjukkan barangan yang telah dirampas polis dalam serbuan itu di pejabatnya kelmarin.

KOTA KINABALU: Polis memberkas sepasang kekasih di sebuah bilik hotel berhampiran Pekan Tanjung Aru, setelah didapati terlibat dengan kes samun bersenjata di sini pada malam Khamis lepas.

Difahamkan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 25 dan 21 tahun itu terbabit dengan kejadian samun di pangsapuri Taman Taman Sri Warisan, Inanam membabitkan seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan dalam insiden berlaku sekitar jam 2 pagi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata pasangan itu ditahan di dalam bilik berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi setelah pendaftaran masuk ke hotel itu dengan menggunakan kad kredit milik mangsa.

“Bertindak di atas maklumat dalam tempoh 24 jam, sepasukan polis telah menyerbu bilik hotel disewa oleh suspek dan kita berjaya menahan seorang lelaki serta seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan kejadian samun itu.

“Hasil siasatan lanjut, difahamkan salah seorang daripada mereka terlibat dengan samun itu sementara kekasihnya pula difahamkan bersubahat dalam insiden terbabit,” katanya sambil menambah, pihaknya masih memburu seorang lagi suspek yang turut terlibat.

Chandra berkata, dalam insiden berlaku pada 7 Ogos lepas itu, mangsa yang berusia 48 tahun telah kerugian hampir RM8,000 dalam insiden itu setelah dompet serta telefon bimbit miliknya disamun oleh dua lelaki tidak dikenali dan bertopeng dalam kejadian itu.

Menurutnya ketika itu, mangsa baru sahaja pulang ke rumahnya dan sebaik berada di perkarangan pintu utama, dia telah didatangi oleh dua lelaki tidak dikenali dan dipercayai memakai penutup muka untuk mengelak daripada dikenali.

“Hasil maklumat pengadu, suspek telah bertindak mengacukan pisau ke arah lehernya sementara seorang lagi mengeluarkan sejenis alat dipercayai selaras pistol yang diacukan ke bahagian badan mangsa.

“Kedua-dua suspek kemudiannya merampas dompet dan telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri dengan menggunakan sebuah Proton Saga yang menunggu mereka di bawah pangsapuri berkenaan.

“Bagaimanapun, dua daripada tiga suspek yang terlibat dalam kejadian itu berjaya dicekup dengan tangkapan pasangan kekasih terbabit di sebuah hotel berhampiran Pekan Tanjung Aru,” katanya.

Chandra berkata, hasil pemeriksaan lanjut di bilik hotel disewa suspek itu telah membawa penemuan beberapa barangan di antaranya replika senjata dipercayai sepucuk pistol palsu, rantai besi, sebilah pisau lipat dan berbelas kad yang kesemua difahamkan hasil daripada aktiviti samun berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

 

Warga asing mati ditetak menantu

$
0
0

MANGSA yang ditemui mati akibat ditetak dari bahagian belakang dalam insiden berkenaan.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing mati akibat ditetak oleh anak menantunya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran Batu 10, Jalan Tuaran Bypass di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 12.40 malam itu mangsa berusia 40an mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk belakangnya dipercayai dilibas menggunakan parang.

Ketika insiden itu, mangsa dikatakan tinggal bersama suspek berusia 20an serta isterinya,14, dan anaknya yang berumur dua minggu.

Isteri suspek difahamkan merupakan anak angkat kepada mangsa semenjak kecil memandangkan mangsa dan isterinya tidak mempunyai anak.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata hasil siasatan awal pihaknya mendapati suspek dikatakan berang dengan tingkah laku bapa mertuanya itu setelah kerap kali ‘menggangu’ isterinya.

Difahamkan suspek gagal menahan marah terhadap mangsa yang merupakan pengendali jentolak berat itu kerana sering melakukan gangguan seksual terhadap isterinya selama ini.

“Menurut laporan pengadu yang juga merupakan isteri mangsa, ketika dia pulang ke rumah setelah melawat jirannya yang sakit dia berasa curiga setelah mendapati rumah mereka bergelap.

“Namun isteri mangsa terkejut sebaik lampu rumah dibuka, kelihatan tubuh suaminya dalam keadaan berlumuran darah dan tertiarap di tilam,” katanya sambil menambah, isteri mangsa kemudiannya bertindak melaporkan kejadian itu di Balai Polis Menggatal.

Hasil bedah siasat ke atas badan mangsa, terdapat satu kesan tetak di bahagian tengkuknya yang telah mengakibatkan saraf tunjang leher mangsa terputus selain libasan di bahu kanan.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Chandra berkata suspek bertindak melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama isteri dan anaknya menuju ke sebuah kawasan di Telipok.

“Operasi mengesan suspek telah dilaksanakan dan motosikal yang dinaiki mereka telah ditemui berhampiran Telipok namun ketiga-tiga mereka masih belum ditemui,” katanya.

Chandra dalam pada itu menggesa orang ramai yang menyaksikan dan mempunyai sebarang maklumat untuk segera tampil ke mana-mana balai terdekat atau hubungi talian 088-242111.

“Suspek dikenali sebagai Azmi, berusia 20an dikatakan tiada sebarang dokumen,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Tiada pertempuran di Lahad Datu

$
0
0

LAHAD DATU: Ketua Pengarah Kawasan Kese-lamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek semalam  menafikan laporan media Filipina kononnya lapan anggota tentera Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu baru-baru ini.

Sambil menyifatkan ke-nyataan kumpulan yang mendakwa kesultanan Sulu di akhbar negara itu baru-baru ini sebagai propaganda dan tidak berasas, beliau berkata sejak gerakan ofensif pasukan keselamatan terhadap pengganas Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo di sini Februari lepas, tiada pertempuran lain antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas Sulu.

“Bagaimana mereka (Kesultanan Sulu) boleh membuat dakwaan itu apabila tiada pertempuran berlaku. Dakwaan itu tidak berasas,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Mohammad diminta mengulas laporan beberapa akhbar Filipina baru-baru ini kononnya berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata Sulu yang mengorbankan lapan askar Malaysia.

Mohammad berkata laporan itu bertujuan untuk mencerminkan keadaan di negeri Ini tidak stabil selain usaha untuk membangkitkan kekacauan.

Pada 19 Jun, Mohammad menolak laporan akhbar Filipina kononnya berlaku Pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan kira-kira 400 militan Sulu di Kampung Dengan Tungku berhampiran Lahad Datu. — Bernama

 

 

 

 

Mayat lelaki warga asing ditemui dengan kesan luka

$
0
0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing ditemui mati dengan kesan luka di leher dan bahu di kediamannya berhampiran pekan Menggatal kira-kira 16 kilometer dari sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata mangsa ditemui mati berlumuran darah oleh isterinya pada jam 12.30 pagi Ahad.

“Mangsa seorang pengendali mesin, berumur 40 tahun. Polis kini mencari seorang warga asing dalam lingkungan umur 20-an, yang berkahwin dengan anak perempuan mangsa berumur 14 tahun untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu di sini semalam.

Chandra berkata, suspek kali terakhir dilihat meninggalkan motosikalnya di pekan Telipok bersama isteri dan anak mereka yang baharu lahir.

“Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh saksi, mangsa sebelum ini ‘diganggu’ oleh isteri suspek yang juga anak tiri mangsa dan motif pembunuhan adalah disebabkan dendam,” katanya. — Bernama

Ibu tiga anak hilang sejak 7 Ogos lalu

$
0
0

KOTA KINABALU: Seorang ibu berusia 26 tahun dilaporkan hilang sejak 7 Ogos lepas setelah kali terakhir dilihat di Kampung Pulutan, Menggatal di sini.

Rezaniah Mabaris, 26, berbangsa Rungus dan mempunyai tiga orang anak itu dikatakan hilang sejak keluar dari rumahnya kira-kira jam 2 petang untuk mengikuti rakan bersiar-siar ke daerah Tawau.

Bagaimanapun, pengadu, 34, yang juga merupakan suami kepada wanita berkenaan telah mendakwa isterinya tidak pulang semenjak itu dan kemudiannya bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Difahamkan wanita terbabit sempat mengatakan dia telah selamat sampai ke daerah Tawau setelah dihubungi oleh suaminya namun selepas itu gagal dikesan sehingga ke hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata pihaknya meminta kepada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali isteri pengadu untuk menghulurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang sebarang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi pegawai kita iaitu Sarjan Amiran di talian 013-8510014,” katanya di sini kelmarin.


Marah majikan, gudang musnah dibakar

$
0
0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tergamak membakar sebuah gudang penyimpanan makanan angkara tidak puas hati dengan majikannya selama ini dalam satu kejadian di Jalan Tuaran Bypass, Perindustrian Keleto, Inanam di sini.

Difahamkan suspek, 51, yang bertugas sebagai kerani di situ dikesan berbuat demikian setelah perbuatannya berjaya dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata insiden sekitar 3 Ogos lepas itu telah menyebabkan sebuah gudang musnah terbakar dan hasil siasatan lanjut mendapati ianya hasil perbuatan khianat oleh salah seorang kakitangan di situ.

“Pada 12 Ogos (Isnin) lepas, pengurus gudang yang berusia 50 tahun telah datang membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan rakaman CCTV yang menunjukkan perbuatan suspek melakukan perbuatan khianatnya di situ,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Mengulas lanjut, rakaman CCTV itu turut menunjukkan suspek menggunakan penyala api untuk membakar kotak kertas yang disimpan di dalam gudang berkenaan secara sengaja.

“Gudang itu didapati merupakan lokasi menyimpan makanan-makanan kering dan basah.

“Menerusi rakaman itu, kita mendapati suspek menggunakan penyala api untuk membakar kotak kertas di situ yang kemudiannya meleret ke kawasan lain sehingga memusnahkan gudang berkenaan,” katanya.

Menurut Chandra, siasatan awal mendapati motif suspek melakukan perbuatan khianat itu kerana tidak berpuas hati dengan majikannya berhubung penyelewengan wang.

Suspek kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda sekiranya sabit kesalahan.

Terdahulu, pemilik gudang terbabit difahamkan kerugian hampir RM400,000 setelah gudang yang telah beroperasi lebih 10 tahun itu habis musnah terbakar dalam kejadian berlaku 7.30 petang pada 3 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

Kenderaan dilarikan penjenayah, tiga bersaudara berdepan detik cemas

$
0
0

KOTA KINABALU: Seorang wanita tempatan dan dua anak saudaranya berhadapan detik cemas setelah kenderaan yang dinaiki bukan sahaja dilarikan, malah mereka turut diculik dalam satu kejadian rompakan berhampiran pasaraya di ibu negeri baru-baru ini.

Dalam insiden sekitar jam 9.30 malam di Tong Hing itu, mangsa sedang menanti teman lelakinya yang pergi membeli barangan dapur di situ di dalam kenderaan berkenaan sebelum mereka didatangi oleh dua lelaki tidak dikenali dan berusia 20an.

Dua suspek terbabit kemudiannya bertindak memasuki kenderaan itu termasuk di bahagian tempat duduk pemandu sebelum melarikannya bersama-sama mangsa dan dua anak saudaranya yang berusia belasan tahun.

Teman lelaki mangsa yang menyedari akan kejadian itu kemudiannya bergegas mengejar kenderaan itu namun gagal berikutan suspek memecut laju keluar daripada kawasan itu.

Suspek kemudiannya meninggalkan kesemua mangsa di sebuah kawasan berhampiran jalan raya Kolombong, dan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan di bahagian muka setelah bergelut dengan penjenayah terbabit di dalam kenderaan jenis Proton Saga berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa telah diselamatkan oleh orang ramai yang secara kebetulan berada di tempat kejadian lalu menerima rawatan lanjut di hospital sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Usaha mengesan suspek dan kenderaan yang telah dilarikan masih giat dilaksanakan.

“Polis meminta kepada orang ramai yang menyaksikan insiden itu untuk tampil segera ke mana-mana balai terdekat bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Chandra turut menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak leka terhadap aspek keselamatan termasuk mengunci kenderaan masing-masing terutamanya keluar meninggalkannya untuk berurusan.

“Rata-rata insiden kereta dilarikan ini adalah berpunca daripada kecuaian pemiliknya sendiri kerana tidak peka akan faktor keselamatan terutamanya ketika meninggalkan kenderaan masing-masing.

“Sehubungan itu, polis ingin menasihatkan kepada orang ramai agar meningkatkan kesedaran mengenai tahap keselamatan anda agar kejadian seumpama ini tidak berlaku di masa hadapan,” katanya.

 

Maut ditetak rakan ketika sesi minum minuman keras

$
0
0

KENINGAU: Polis menangkap seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan menyebabkan seorang rakan sekerjanya maut ditetak di sebuah pondok berhampiran rumah kongsi pekerja di kem balak Bantul Pagalungan dalam daerah Nabawan pada Sabtu lalu.

“Polis turut menahan tiga rakan mangsa bagi membantu siasatan,” kata Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Robert Salisip @David ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Katanya, mangsa dikenali Joceph Sulmaron Bidal berusia 31 tahun berbangsa Visaya tanpa dokumen mati akibat tetakan dengan parang di bahagian leher sebelah kiri.

“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau bersama anggota polis dari Balai Polis Nabawan bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima aduan daripada seorang pengurus kem pembalakan berkenaan mengenai kes pergaduhan di antara pekerja kem itu.

“Siasatan awal mendapati pada 9 Ogos tahun ini kira-kira jam 9 malam di sebuah pondok berdekatan rumah kongsi kem balak Bantul Pagalungan, Nabawan satu pergaduhan telah berlaku antara mangsa dan suspek yang berumur 22 tahun, juga keturunan Visaya,” katanya.

Robert berkata, sebelum pergaduhan berlaku, mangsa bersama empat orang rakannya termasuk suspek minum minuman keras jenis “Golden”, kemudian tiga orang rakan mangsa telah balik awal, suspek juga beredar dan mangsa telah memarahi suspek kerana meninggalkannya seorang diri minum minuman keras.

“Suspek yang hilang sabar dengan kemarahan mangsa kepadanya telah bertindak menetak mangsa di bahagian leher sebelah kiri dengan menggunakan sebilah parang.

“Suspek tidak mengetahui keadaan mangsa selepas menetak mangsa sehingga pada keesokan harinya kira-kira jam 11 pagi mangsa telah meninggal dunia dan ditemui di kawasan gaung lebih kurang lima puluh meter dari rumah kongsi terbabit,” katanya.

Robert berkata, punca pergaduhan dipercayai disebabkan perselisihan faham dan pertengkaran antara mangsa dan suspek kerana mabuk meminum minuman keras.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati satu kesan tetakan di bahagian leher sebelah kiri. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Keningau dan bedah siasat akan dibuat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Polis telah menangkap seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes itu bersama tiga rakan mangsa untuk bantu siasatan.

Turut dirampas sebilah parang di tempat kejadian yang disyaki digunakan oleh suspek untuk menetak mangsa. Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat lelaki reput ditemui

$
0
0

Anggota polis mengangkat mayat yang ditemui terbabit.

SANDAKAN: Mayat seorang lelaki hampir reput dijumpai di sebuah pondok tidak beratap di Jalan Fook Kim berhampiran sebuah pembinaan perumahan, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan berkata mayat yang tiada identiti itu ditemui hanya berseluar jeans.

Beliau berkata mayat itu ditemui kira-kira jam 3 petang oleh pekerja tapak pembinaan berhampiran sebelum menghubungi polis.

“Mayat lelaki berkenaan kemudiannya dihantar oleh polis ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat,” katanya.

Rowell berkata, pihaknya belum lagi dapat mengenal pasti punca kematian dan masih menunggu laporan bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga agar menghubungi pihak polis bagi melakukan pengecaman dan membantu siasatan.

Ini adalah mayat reput yang kedua ditemui di sini dalam seminggu yang mana mayat pertama juga seorang lelaki dijumpai di dalam semak di Kampung Icebox Mangkalinau Batu 3, tengahari Isnin.

Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang

$
0
0

Abu Bakar Taraji

LAHAD DATU: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Taman Warisan 4, Jalan Tengah Nipah, di sini, malam Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, PBK ll Abu Bakar Taraji berkata dalam masa sama anggota bomba dan penyelamat turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah lain daripada musnah terbakar.

Menurut Abu, pihak bomba telah dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada jam 2.17 pagi dan mengerahkan seramai enam anggota bomba bersama sebuah jentera yang diketuai oleh PBK II Kasdi Latimin ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita mendapati api telah memusnahkan dua buah rumah namun anggota bertugas yang bertindak pantas turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah lain daripada turut musnah,” katanya.

Pihaknya mengambil masa kira-kira sejam lebih bagi mengawal kebakaran dari pada terus merebak ke kawasan rumah berhampiran sebelum operasi itu ditamatkan pada kira-kira jam 6.08 pagi.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian itu kini masih dalam siasatan.

Suspek bunuh bapa mertua masih diburu

$
0
0

KOTA KINABALU: Polis masih memburu suspek warga asing yang menetak bapa mertuanya sehingga mati di dalam sebuah rumah kongsi berhampiran Batu 10 Jalan Tuaran Bypass pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra ketika dihubungi kelmarin berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan operasi mencari suspek giat dilaksanakan.

“Kita masih giat melaksanakan operasi memburu dan mengesan suspek.

“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi talian 088-242111,” katanya.

Terdahulu dalam insiden berlaku sekitar jam 12.40 malam pada 12 Ogos itu, mangsa dikenali sebagai Jani Aminul, 40, mati di tempat kejadian selepas ditetak dari bahagian belakang oleh suspek yang menggunakan parang.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa yang juga merupakan seorang pengendali jentera berat itu, terdapat kesan tetak di bahagian tengkuk kanannya yang telah memutuskan saraf tunjang selain libasan lain di bahu.

Difahamkan, insiden bunuh itu terjadi apabila mangsa dikatakan kerap melakukan gangguan seksual terhadap isteri suspek yang juga merupakan anak angkat kepada keluarga mangsa.

Suspek ketika itu sedang menumpang di rumah mangsa bersama-sama isterinya,14, yang baru sahaja habis bersalin dan anak berusia dua minggu.

Sejurus kejadian itu, suspek dikatakan melarikan diri bersama isteri dan anaknya dengan menggunakan sebuah motosikal.

Bagaimanapun, motosikal terbabit telah ditemui di kawasan perumahan di Telipok namun suspek berjaya mengelak daripada dikesan.

Suspek dikenali sebagai Azmi, berusia 20an dan difahamkan tidak mempunyai sebarang dokumen.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Najib makin popular selepas PRU13

$
0
0

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mencapai 100 hari pada Selasa sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kini semakin popular dan terus menjadi pilihan nombor satu rakyat dalam mengharungi suasana politik yang kian mencabar, kata tokoh politik terkenal Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata populariti presiden UMNO itu terus meningkat berikutan kejayaannya menerajui parti itu meraih lebih banyak kerusi Parlimen dan sekali gus mengekalkan UMNO sebagai parti dominan serta menjadi pilihan utama rakyat.

“Jelas sekali, Najib berdepan dengan pertarungan politik bagi menentang parti yang mengamalkan politik ‘melampau’ dari segi pendekatan mereka.

“Bagaimanapun, beliau (Najib) berjaya mengimbangi antara prinsip perjuangan UMNO dan keadilan untuk semua dengan mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan untuk rakyat daripada segenap lapisan kehidupan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata demikian bagi mengulas cabaran politik yang dihadapi Najib dalam tempoh 100 hari pentadbirannya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikutan kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasanya melalui PRU13 pada Mei tahun ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata Najib secara tangkas membalas ‘persepsi politik’ penentangnya dengan membawa hasil atau “mengotakan apa yang beliau janjikan atau suarakan kepada rakyat”.

“Rakyat sudah muak dengan kerenah mereka yang tidak henti-henti melancarkan propaganda politik. Sebaliknya, Najib lebih fokus dan terus memberi yang terbaik kepada rakyat serta tidak mempedulikan sandiwara politik pembangkang,” katanya.

Sejajar dengan itu, bekas ketua menteri Sabah ini mengingatkan anggota UMNO supaya tidak terpedaya oleh permainan politik pembangkang, yang cuba meraih keuntungan atau menangguk di air keruh daripada sesuatu keadaan.

Salleh berkata agenda transformasi politik yang dilaksanakan Najib sebagai pre-siden UMNO berjaya meraih tambahan 30 peratus undi untuk UMNO pada pilihan raya umum lepas.

“Ini terbukti melalui pe-ningkatan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu daripada 79 dalam PRU12 pada 2008 kepada 88 pada PRU13.

“Jika dilihat pada 89 kerusi yang dimenangi pembangkang, sebagai sebuah parti, UMNO secara bersendiri-an dapat menyaingi jumlah kerusi yang diraih secara bersama oleh ketiga-tiga parti pembangkang (DAP, PKR dan PAS),” katanya.

Salleh berkata pencapaian BN pada 2008 dan 2013 tidak boleh dibuat perbandingan atau dihakimi secara matematik kerana senario politik yang berbeza.

“Pelbagai transformasi politik telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Najib, terutama dalam UMNO dan sebab itulah pada pilihan raya umum lepas, UMNO secara jelas kekal sebagai parti yang menjadi pilihan majoriti rakyat.

“UMNO telah membukti-kan kemampuannya untuk mengharungi medan politik tanah air apabila berjaya menawan kembali Kedah (daripada pembangkang) dan Perak (yang dikuasai pembangkang pada 2008) dengan jumlah undi yang bertambah,” katanya.

Malangnya, kata Salleh, sokongan terhadap parti komponen BN lain mengalami kemerosotan dan “perkara ini sedang ditangani perdana menteri dengan matlamat akhirnya untuk menyatupadukan seluruh rakyat, terutama dari segi hubungan sesama mereka yang kelihatan agak rapuh, hingga boleh mewujudkan polarisasi kaum”.

Beliau berkata setelah meng-ambil kira semua perkembangan itu, sebagai perdana menteri yang berwawasan jauh, pada 26 Jun lepas, Najib mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional sebagai usaha mengeratkan hubu-ngan kaum dan mengukuhkan perpaduan nasional.

“Kita (dalam UMNO) tidak sepatutnya terperangkap oleh politik pembangkang,” kata-nya sambil menambah bahawa Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sering turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi. — Bernama


Adun DAP terima surat ugutan berisi wang pengebumian

$
0
0

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan (Adun) Likas, Junz Wong Hong Jun dari parti DAP menerima kejutan besar kelmarin setelah menemui sepucuk surat mengandungi nota berbaur ugutan dan berisi 50 keping not wang pengebumian tradisional masyarakat Cina di pejabatnya, di Bundusan dekat sini.

Menurut beliau, surat yang diletakkan di dalam sampul berwarna coklat terbabit diletakkan di meja pejabatnya sebelum ditemui petugas di ibu pejabat DAP itu kira-kira jam 8 pagi, dan ianya hanya dibuka sebaik ketibaan Junz di pejabatnya sekitar jam 11.30 pagi terbabit.

Surat itu dikatakan tidak mempunyai sebarang maklumat pengirim dan ianya ditujukan kepada ahli politik muda DAP itu berdasarkan alamat yang tertera di sampul berkenaan.

Difahamkan ianya mengandungi 50 keping wang pengebumian bernilai 8 bilion dan tulisan di dalam bahasa Inggeris yang berbunyi: Your way to the future, you need more money to spend… more young girl… drinks… sex… etc so there are some her for you….

“Sebaik membuka surat itu, saya amat terkejut ianya mengandungi beberapa not (difahamkan 50 keping) wang pengebumian yang diselitkan bersama sekeping nota.

“Nota yang tertera tulisan bahasa Inggeris itu secara jelas bermaksud atau bertujuan ugutan dan saya bersama beberapa kakitangan bagaimanapun terus bergegas melaporkan kejadian ini kepada pihak polis,” katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kelmarin.

Mengulas lanjut, Junz berasa hairan akan penghantaran surat ugutan itu memandangkan dia sebelum ini tidak pernah berselisih faham dengan mana-mana individu termasuk di kalangan ahli-ahli politik sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang.

“Oleh itu, kami amat terkejut dengan insiden ini dan sudah tentu saya kini berasa amat bimbang setelah diancam sebegini.

“Namun apa pun, ia tidak melemahkan semangat saya untuk terus berjuang dalam bidang politik ditambah lagi perjuangan DAP dalam menegakkan keadilan rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan surat ugutan itu sedikit sebanyak berkait rapat dengan perjalanan politiknya termasuklah perjuangan parti dalam mengemukakan pelbagai isu-isu di negeri ini.

“Saya tidak nafikan surat ugutan ini mungkin berkaitan dengan perjuangan politik berkenaan sesetengah isu,” katanya.

Junz turut berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera berhubung kes terbabit memandangkan ancaman-ancaman sebegitu perlu diberi perhatian serius sebelum kejadian tidak diingini berlaku di masa hadapan.

 

Myvi terbakar, dua lelaki sempat selamatkan diri

$
0
0

KELIHATAN anggota bomba memeriksa keadaan kenderaan itu yang hangus terbakar sebaik terbabit nahas di Jalan Teluk Sepanggar malam semalam.

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan nyaris mengalami kemalangan jiwa dan terselamat setelah kenderaan dinaiki mereka terbabit nahas sebelum terbakar di Jalan Teluk Sepanggar malam semalam.

Difahamkan dalam insiden sekitar jam 11.30 malam itu, pemandu Perodua Myvi berkenaan yang berusia 21 tahun dan rakannya berumur 19 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke Sepanggar dari arah pusat bandar.

Setibanya di lokasi berkenaan, dengan tidak semena-mena mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke tepi jalan dan merempuh tiang elektrik.

Selang beberapa minit kemudian, Perodua Myvi itu terbakar sehingga hampir menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kenderaan berkenaan, namun mereka sempat menyelamatkan diri.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa difahamkan mengalami kecederaan ringan di dalam kejadian itu dan telah menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 11.25 malam dan dua jentera dengan kekuatan 13 anggota digegaskan ke lokasi terbabit.

“Kenderaan mangsa musnah terbakar dan kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit sebaik tiba di tempat kejadian. Punca dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

 

Polis jejaki remaja lelaki disyaki rogol remaja OKU

$
0
0

KENINGAU: Polis sedang menjejaki seorang remaja lelaki warga tempatan berusia 15 tahun yang disyaki merogol seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) yang juga berusia 15 tahun di kuarters salah sebuah jabatan kerajaan di Bingkor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David berkata suspek yang juga merupakan sepupu kepada mangsa melarikan diri selepas bapa mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada Khamis.

Katanya, kejadian berlaku di rumah pengadu iaitu di sebuah kuarters kakitangan jabatan kerajaan di Bingkor, ketika suspek dan mangsa ditinggalkan bersendirian di rumah itu.

“Suspek telah menetap bersama pengadu sejak diambil dari keluarganya kerana pengadu mahu membantu menyambung persekolahannya yang tercicir dalam pelajaran kerana keluarganya kurang mampu,” katanya kepada media ketika dihubungi kelmarin.

Menurut Robert, pengadu perasaan gerak geri dan tingkahlaku mangsa berubah dan apabila disoalsiasat, mangsa mengakui telah diperkosa oleh sepupu lelakinya (suspek).

“Siasatan lanjut mendapati mangsa tidak dapat memberitahu tarikh sebenar kejadian dan bagaimana kejadian berlaku memandangkan mangsa merupakan orang kelainan upaya Intelek Diagnosis “Slow Learner”.

Hasil pemeriksaan awal oleh doktor pakar sakit puan di Hospital Keningau mendapati terdapat kesan koyakan lama pada alat sulit mangsa.

Robert berkata, usaha mengesan suspek masih dijalankan dan telah memohon bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk mengesan suspek yang balik di kampungnya di Kota Marudu pada musim cuti sekolah.

Katanya, siasatan kes itu diteruskan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Warga emas ditemui mati dalam bilik penginapan

$
0
0

Kelihatan anggota polis sedang mengusung mayat mangsa keluar dari tempat penginapan itu kelmarin.

KOTA KINABALU: Beberapa kakitangan sebuah tempat penginapan bajet berhampiran restoran 24 jam di Kampung Air terkejut berikutan penemuan mayat seorang lelaki warga emas di dalam bilik premis itu kelmarin.

Dalam insiden yang terjadi sekitar jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Charles Lai @Lai Keat Phen, 59, ditemui dalam keadaan kaku dan tidak bergerak di bilik penginapan terbabit sebelum kakitangan di situ bergegas melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis.

Difahamkan mangsa telah menginap di premis terbabit seorang diri sejak beberapa hari lepas dan ketika ditemui, mayat mangsa berada dalam keadaan terbaring di atas katil.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kes itu dan kita mengklasifikasikannya sebagai kejadian mati mengejut,” katanya.

 

Kes bunuh mertua selesai

$
0
0

CHANDRA menunjukkan parang yang digunakan oleh suspek menetak mangsa sehingga mati dalam kejadian tempoh hari.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan suspek yang menetak bapa mertuanya sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran Batu 10, Jalan Tuaran Bypass pada Ahad lepas, di pekan Beaufort kelmarin.

Suspek dikatakan menyembunyikan diri bersama isterinya yang berusia 14 tahun serta anaknya berusia dua minggu di daerah Beaufort sebelum ditemui di sebuah restoran berhampiran pekan berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang.

Difahamkan suspek yang berusia 21 tahun dan keluarganya sedang duduk di premis makanan itu sebelum diserbu sepasukan polis yang menerima maklumat berhubung kehadiran suspek di lokasi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra, berkata berlaku sedikit pergelutan apabila suspek bertindak cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota polis di situ, namun suspek akhirnya menyerah diri tidak lama kemudian.

“Bertindak atas maklumat orang awam pada 15 Ogos lalu sekitar jam 2.30 petang, sepasukan polis berjaya mengesan dan melakukan serbuan ke atas suspek di sebuah restoran berhampiran Pekan Beaufort,” katanya.

Mengulas lanjut, Chandra berkata susulan tangkapan itu, suspek kemudian membawa polis ke tempat kejadian bagi menunjukkan lokasi senjata yang digunakan membunuh mangsa tempoh hari.

“Suspek membawa polis ke belakang rumah kongsi di Batu 10, Jalan Tuaran Bypass, iaitu tempat berlaku kes bunuh itu dan hasil pemeriksaan serta maklumat daripada suspek, kita menemui sebilah parang sepanjang 22 inci kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, parang itu digunakannya untuk menetak mangsa yang sedang tidur di dalam rumah itu sekitar jam 10.30 malam pada hari kejadian 11 Ogos lalu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Karamunsing kelmarin.

Chandra berkata dengan penangkapan suspek, polis mengklasifikasikan kes berkenaan selesai dan siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Sementara itu, beliau berkata isteri suspek juga ditahan bagi tujuan membantu siasatan terhadap kes terbabit.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Jani Aminul, 40, mati di tempat kejadian setelah dikatakan ditetak dari bahagian belakang dengan menggunakan parang.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa, terdapat kesan tetak di bahagian tengkuk kanannya yang telah memutuskan saraf tunjang selain libasan lain di bahu.

Dikatakan insiden bunuh itu berpunca daripada suspek yang berang akan tingkah laku bapa mertuanya yang difahamkan telah melakukan gangguan seksual sebanyak dua kali terhadap isteri suspek.

Viewing all 2674 articles
Browse latest View live