Quantcast
Channel: Berita Sabah – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all 2674 articles
Browse latest View live

Remaja buat laporan polis dakwa dirogol bapa tiri

$
0
0

SANDAKAN: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis pada Ahad mendakwa telah dirogol oleh bapa tirinya sejak 2005 hingga 2009 di rumah mereka di sini.

Ketua Polis Daerah, ACP Rowell Marong mengesahkan kes berkenaan dan berkata suspek berumur 46 tahun yang merupakan seorang penjawat awam kini sedang dikesan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

“Kali terakhir mangsa mendakwa dirogol oleh suspek ialah pada tahun 2009 sebelum emaknya bercerai dengan suspek,” katanya.

Beliau berkata, mangsa diugut akan dicederakan oleh suspek sekiranya memberitahu hal berkenaan kepada sesiapa.

Pada 25 Ogos 2013 katanya, mangsa telah menerima SMS dari suspek yang mengajaknya berjumpa dan melakukan hubungan seks.

Rowell berkata, mangsa telah menunjukkan SMS berkenaan kepada ibu angkatnya sebelum membawa mangsa ke balai polis dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

 

 


Rogol: Bapa dipenjara 18 tahun, 10 sebat

$
0
0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sepuluh sebatan rotan, oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas kesalahan merogol anak kandungnya.

Hakim Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang petani yang berusia 39 tahun, selepas kertas pertuduhan dibacakan dan mengaku bersalah.

Tertuduh didapati merogol anaknya yang berusia sembilan tahun, pada 8 Jun tahun lalu jam 11 pagi di kebun getah, di sebuah kampung di Kota Belud.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang sepuluh kali sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 Jun tahun lalu, satu laporan polis dibuat menyatakan bertempat di rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Kota Belud, pengadu memberitahu telah dirogol oleh ayah kandungnya.

Berikutan daripada laporan itu, satu siasatan dilakukan dan hasilnya menunjukkan bahawa tertuduh ada merogol pengadu.

Selain itu, daripada hasil siasatan ke atas adik beradik pengadu, salah seorang daripada adik pengadu iaitu adiknya turut mengaku telah dirogol oleh tertuduh.

Menurut siasatan pihak polis, mangsa dirogol oleh tertuduh pada 8 Jun tahun lalu sekitar jam 11 pagi bertempat di tepi sungai kampung terbabit.

Mangsa telah dibawa ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan dan hasilnya terdapat koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Menurutnya, tertuduh juga pernah memasukkan zakarnya ke dalam dubur mangsa dan memberitahu, dia mula diganggu oleh tertuduh bermula pada tahun lalu.

Terdahulu, tertuduh memohon agar hukumannya diringankan kerana sakit serta memohon agar dijalankan serentak dengan satu lagi hukuman atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin menegaskan hukuman berat harus dijatuhkan kepada tertuduh.

“Tertuduh telah merogol anak kandung sendiri dan mahkamah harus mengambil kira bahawa kakak mangsa juga dirogol tertuduh.

“Waktu kejadian usia mangsa adalah sembilan tahun dan tarikh kejadian mangsa dirogol dan kakaknya adalah dekat,” katanya.

Wan Azwan juga memohon agar mahkamah mengambil kira tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh, serta pandangan masyarakat terhadap pesalah seksual seperti tertuduh.

Polis tahan dua suspek dipercayai terbabit kes bunuh pemandu kereta sapu

$
0
0

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dengan kes bunuh membabitkan seorang pemandu kereta sapu yang lehernya dikelar sebelum dicampak dalam semak berhampiran tangki air Kampung Binaung Baru, Menggatal pada Khamis lepas berjaya ditahan baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata suspek yang berusia 21 dan 27 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Menggatal pada awal pagi Sabtu lalu.

“Hasil daripada tangkapan kedua-dua suspek itu, kita turut menemui sebilah pisau yang dipercayai senjata dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan awal polis turut tidak menolak kemungkinan bahawa motif kes bunuh ini adalah disebabkan dendam atau tahap kemarahan terlampau terhadap si mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan kelmarin.

Mengulas lanjut, Hamza berkata kedua-dua suspek itu kini direman selama lapan hari bermula pada 24 Ogos lalu dan pihaknya menyifatkan kes bunuh itu telah selesai berikutan dengan kejayaan tangkapan berkenaan.

Terdahulu dalam kejadian berlaku sekitar jam 7 pagi pada 22 Ogos lepas itu, mangsa dikenali sebagai Ibnu Paharan, 29 telah ditemui mati dalam keadaan tangan serta kaki terikat sementara mulutnya disumbat dengan kain oleh sepasukan anggota Unit Peronda Polis (MPV) di sebuah semak berhampiran tangki air, Kampung Binaung Baru, Menggatal di sini.

Kenderaan Toyota Unser yang digunakan oleh mangsa sebagai sumber rezeki kereta sapu turut ditemui kira-kira 50 meter daripada lokasi mangsa ditemui.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

 

73 individu ditahan bersempena Ops Cantas

$
0
0

KOTA KINABALU: Seramai 73 individu yang dipercayai terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah ditahan sempena pelaksanaan Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) di negeri ini, menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu membabitkan 251 serbuan sepanjang tempoh sembilan hari operasi berkenaan dilakukan bermula 17 hingga 25 Ogos lalu di seluruh kontinjen polis negeri ini.

“Kita berjaya menahan seramai 73 individu setelah pemeriksaan terhadap 829 individu dilakukan pada tempoh berkenaan.

“Sementara itu, dalam operasi terbabit juga menyaksikan sebanyak lapan senjata berjaya dirampas daripada individu-individu yang ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan dekat sini kelmarin.

Hamza berkata, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan operasi terbabit dari masa ke semasa selaras dengan saranan daripada Ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.

“Kontinjen Sabah akan terus berusaha membendung kegiatan jenayah dari masa ke semasa ditambah lagi dengan adanya Ops Cantas yang telah dilancarkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini,” katanya.

Untuk rekod, Ops Cantas terbabit akan meliputi meliputi sekatan jalan raya, pemeriksaan premis perniagaan dan kediaman serta mengesan bekas banduan yang pernah ditahan mengikut Akta Ordinan Darurat (EO) yang disyaki aktif semula dalam kegiatan jenayah.

Sementara di IPK kelmarin, turut berlangsung majlis penyerahan tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah membabitkan Datuk Tan Kok Liang dan Datuk Abdul Malek Harun yang disaksikan oleh Hamza dan ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua polis daerah di negeri ini.

Abdul Malek akan menyandang jawatan sebagai pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah sementara Tan akan menggantikan tugas beliau sebelum ini iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Makmal Forensik).

Kedua-dua mereka akan bertukar portfolio masing-masing berikutan Abdul Malek sebelum ini telah bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Bukit Aman.

Ketika ditemui, Abdul Malek berkata ini merupakan kali pertama beliau ditugaskan secara rasmi di negeri Sabah memandangkan sebelum itu telah menjawat jawatan terdahulu selama enam tahun.

“Saya telah bertugas di Bukit Aman selama enam tahun sejak 2007 dan turut berkesempatan bertugas di Sarawak sebelum ini.

“Dengan pelantikan ini, saya berharap dapat membantu Kontinjen Sabah dalam pelbagai pencapaian dari masa ke semasa,” katanya yang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu.

 

Suspek kes rogol anak tiri serah diri kepada polis

$
0
0

SANDAKAN: Suspek bagi kes merogol anak tirinya berumur 16 tahun menyerah diri kepada polis di sini pada Isnin, berikutan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong, yang mengesahkan perkara itu kelmarin memberitahu suspek berumur 46 tahun itu datang menyerah diri di balai polis di sini bersama peguamnya.

Mangsa membuat laporan polis pada Ahad, mendakwa telah dirogol oleh bapa tirinya sejak 2005 hingga 2009 di rumah mereka di sini.

“Kali terakhir mangsa mendakwa dirogol oleh suspek ialah pada tahun 2009 sebelum ibunya bercerai dengan suspek,” katanya.

Rowell berkata mangsa diugut akan dicederakan oleh suspek sekiranya memberitahu hal berkenaan kepada sesiapa.

Pada 25 Ogos 2013, katanya, mangsa telah menerima SMS dari suspek yang mengajaknya berjumpa dan melakukan hubungan seks.

Beliau berkata mangsa telah menunjukkan SMS berkenaan kepada ibu angkatnya sebelum membawa mangsa ke balai polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Majikan digalak sedia peluang pekerjaan kepada ODP

$
0
0

KOTA KINABALU: Jabatan Penjara Sabah memohon kerjasama jitu daripada semua majikan di negeri ini untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada Orang Diparol (ODP) dalam usaha menyokong pemulihan komuniti.

Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri, Maidin Din, berkata setakat ini penerimaan daripada pelbagai majikan terbabit adalah positif, namun pihaknya masih berhasrat ia akan diperluaskan lagi mengikut kemahiran serta kesesuaian individu-individu yang diparol.

“Ini adalah termasuk faktor jarak lokasi para ODP bekerja dengan kediaman mereka bagi memudahkan kita melakukan pemantauan.

“Sehubungan itu, kita memohon lebih banyak kerjasama daripada pihak majikan untuk menerima dan menyediakan peluang pekerjaan untuk para ODP ini sebagai usaha pemulihan serta memberikan sokongan keyakinan kepada mereka untuk hidup bermasyarakat setelah menjalani hukuman,” katanya.

Untuk tahun ini sahaja, katanya, lebih 40 ODP telah direkod menjalankan perintah parol masing-masing bersama majikan yang ditetapkan setelah menjalani hukuman di penjara.

Maidin berkata sejak sistem parol diperkenalkan ke seluruh negara pada tahun 2008, ianya telah membuka ruang positif kepada ODP untuk hidup bermasyarakat selain mengurangkan kesesakan penghuni di penjara-penjara di negeri ini.

“Untuk rekod, lebih 600 ODP telah menjalani perintah parol di negeri Sabah sejak sistem berkenaan diperkenalkan pada 2008. Kita turut mencatatkan kira-kira 40 ODP melaksanakan parol mereka pada tahun ini,” katanya.

Antara kriteria diperlukan untuk mengikuti sistem parol itu adalah ODP harus berkelakuan baik serta tempoh hukuman bersesuaian dan harus mematuhi arahan pegawai parol daerah masing-masing dari masa ke semasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri, Jabatan Penjara Sabah Kepayan kelmarin.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Maidin berkata satu program akan diadakan dalam masa terdekat ini dikenali sebagai Program Pemulihan Pemasyarakatan yang turut dimeterai bersama Kementerian Pertahanan.

Merupakan cetusan idea daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersempena Strategi Lautan Biru, ianya akan menyaksikan 100 hingga 200 penghuni penjara akan dihantar ke Kem Paradise, Kota Belud bagi melaksanakan program kemasyarakatan.

“Ini termasuk aktiviti-aktiviti kebersihan atau tanaman kepada para penghuni penjara setelah program yang dijangka dimulakan pada tahun depan itu berlangsung.

“Langkah itu juga sebagai salah satu inisatif mengurangkan kesesakan penghuni serta jumlah banduan berulang,” katanya.

 

Ops Cantas: 200 kenderaan diperiksa

$
0
0

JAUTEH (kiri) ketika melakukan tinjauan dan pemeriksaan di sekatan laluan Kilometer 6, Jalan Tuaran.

KOTA KINABALU: Hampir 200 buah kenderaan diperiksa dalam empat sekatan jalan raya bersempena Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) di ibu negeri kelmarin.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata empat sekatan berasingan itu membabitkan laluan di Likas, Menggatal, Luyang dan Tanjung Aru yang bermula pada jam 10.30 malam hingga 2 pagi.

Menurut beliau, operasi terbabit berjalan dengan lancar dengan pihaknya turut berjaya memantau beberapa kenderaan yang telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk membawa senjata berbahaya.

“Ia diadakan bersempena Ops Cantas yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara bagi mencegah serta mengenal pasti individu yang dipercayai terbabit pelbagai kesalahan jenayah di Kota Kinabalu.

“Malah operasi ini turut menyaksikan pemeriksaan serta saman terhadap individu yang telah melakukan kesalahan trafik sebaik dikenal pasti dalam sekatan berkenaan,” katanya ketika turut serta dalam Ops Cantas IPD Kota Kinabalu di Kilometer 6, Jalan Tuaran, di sini.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata operasi pada malam itu telah membabitkan seramai 11 pegawai dan 40 anggota daripada semua unit IPD Kota Kinabalu dan dibantu oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

 

Mayat lelaki ditemui tergantung

$
0
0

Anggota polis mengusung mayat mangsa.

PENAMPANG: Mayat seorang lelaki tempatan ditemui dalam keadaan tergantung yang dipercayai akibat membunuh diri di perumahan Taman Suria di sini kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Alvin Chee Yun Hing, 37, dikatakan menggantung dirinya dengan menggunakan kain cadar dari siling kediaman yang dihuninya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kejadian ini dan kita mengklasifikasikan ianya sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, mangsa difahamkan tinggal di pangsapuri berkenaan bersama bapanya sementara ahli keluarga yang lain sedang bercuti di negara Filipina.

 


Esscom laksana program dekati masyarakat

$
0
0

SANDAKAN: Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Mohd Yusri Hasyim berkata pihaknya melaksanakan beberapa program sebagai usaha mendekati sekaligus mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat yang tinggal di bawah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Ia termasuk mengadakan program kemasyarakatan sempena perayaan seperti Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri selain aktiviti bersama golongan belia dan beliawanis.

“Pada Ramadan yang lepas, kita telah melaksanakan 26 program Al-falah di masjid-masjid di daerah yang termasuk dalam Esszone dengan pengisian aktiviti berbuka puasa dan berterawih bersama penduduk terlibat.

“Dan dalam bulan Syawal, kita ada majlis rumah terbuka yang melibatkan penduduk berbilang bangsa dan agama. Selain itu, kita juga akan mengadakan aktiviti berbentuk patriotisme bersama belia dan beliawanis.

“Program yang dilaksanakan ini bertujuan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan dalam masa yang sama, kita berharap mereka dapat menjalinkan kerjasama dan membantu kita di Esscom menerusi penyaluran apa jua maklumat yang berkaitan dengan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama penduduk Kampung Bahagia di kampung berkenaan, pada Khamis.

Menurut beliau, kestabilan dan keselamatan yang wujud turut membantu masyarakat setempat untuk menjalani kehidupan harian mereka seperti keluar bekerja dan menjalankan perniagaan dengan terjamin.

Katanya, sejak Esscom diwujudkan, masyarakat setempat di 10 daerah yang terlibat juga sudah memahami peranan yang dimainkan oleh pihaknya.

“Penduduk juga telah memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan untuk sama-sama memainkan peranan demi menjaga kestabilan dan keselamatan negara,” katanya sambil menambah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyaluran sebarang bentuk maklumat berkaitan keselamatan.

Mengenai majlis itu, beliau berkata ia merupakan sambutan sempena Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat Kampung Bahagia yang melibatkan kira-kira 5,000 penduduk.

Katanya, penduduk kampung itu yang 90 peratus berbangsa Suluk dan 10 peratus Bajau memberi peluang kepada pihaknya untuk mendekati sekaligus menjalinkan kerjasama lebih kukuh agar kestabilan dan keselamatan dapat dikekalkan.

“Program-program kemasyarakatan yang kita adakan melibatkan keseluruhan penduduk di 10 daerah di bawah Esscom. Tidak ada sebarang pemilihan tempat yang tertentu serta sasaran suku dan agama, sebaliknya semua libatkan,” katanya.

 

 

Pengganas sulu tidak ada kaitan kes culik sembilan lelaki di Semporna

$
0
0

TAWAU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib menafikan dakwaan wujudnya hubungan antara kes penculikan terbaru di Semporna melibatkan sembilan mangsa di perairan Silapak Selasa lepas dengan pengganas Sulu.

Menurutnya, hasil risikan dan kerjasama daripada pihak berkuasa di negara jiran menunjukkan kumpulan bersenjata yang mendalangi insiden penculikan itu sudah dikenalpasti sebagai perompat laut biasa.

“Setakat ini, kita sudah mengenalpasti dua kumpulan perompak laut dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya sambil mengesahkan kumpulan terlibat bergiat di perairan berhampiran dua negara ini.

Hamza berkata masyarakat khususnya penduduk di sekitar Pantai Timur Sabah tidak perlu bimbang ataupun khuatir dengan keselamatan mereka kerana keadaan di negeri ini berada dalam situasi terkawal dan selamat.

Menyentuh mengenai kes terbabit, beliau berkata insiden Selasa lepas melibatkan kes rompakan beberapa barangan berharga seperti wang tunai dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai sekitar RM1,300 dari kapal nelayan.

“Kita harap masyarakat tidak perlu takut atau bimbang dan percaya dengan khabar angin yang mengatakan bahawa negeri ini berada dalam ancaman bahaya dari pihak luar, kerana secara kasar terdapat lebih 10,000 anggota keselamatan ditempatkan di negeri ini,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Pembaharuan Lesen Senjata Api Pistol 2013/2014 di IPD Tawau di sini kelmarin menegaskan pada tahun ini juga menyaksikan indeks jenayah berjaya diturunkan buat tahun keempat berturut-turut.

Mengulas lanjut, Hamza meminta masyarakat khususnya pemimpin setempat untuk membantu memberi penerangan kepada orang ramai berhubung isu keselamatan di kawasan masing-masing berasaskan sumber yang sahih dan disahkan pihak berkuasa.

“Sekarang pasukan keselamatan kita diperkuatkan dengan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom), tentera, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Tugas Bersama, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

 

 

Jenazah tiga anggota polis dihantar ke kampung halaman

$
0
0

Jenazah Khairool dibawa naik ke pesawat PDRM.

BELURAN: Jenazah tiga anggota polis trafik yang terlibat dalam kemalangan maut petang Khamis di Kilometer 53 Jalan Beluran-Telupid telah dihantar balik ke kampung halaman masing-masing untuk urusan pengkebumikan.

Ketua Polis Daerah, DSP Shivanathan Velautham berkata jenazah Koperal Saudi Meting, 47,  dituntut oleh anggota keluarganya semalam dan akan dikebumikan sebelum sembahyang Jumaat di Kampung Panji, Semporna.

Manakala jenazah Koperal Hejdrin Ginan, 30, dibawa balik ke Kampung Sungai Kayu Batu 7 Sandakan dan juga dikebumikan sebelum sembahyang Jumaat, katanya.

Beliau berkata jenazah seorang lagi anggota iaitu Lans Kopral Khairool Firdaus Abrahim, 24, diterbangkan khas dengan pesawat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Lapangan Terbang Sandakan ke Limbang, Sarawak kira-kira jam 2.50 petang.

Turut berada di lapangan terbang, abang ipar Allahyarham Lans Koperal Khairool, Adzhar Idris, Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Sandakan, ASP Osman Ismail, pegawai-pegawai kanan dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran serta IPD Sandakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Khamis, lima maut termasuk tiga anggota polis trafik manakala empat lagi parah apabila kereta peronda polis yang sedang dalam perjalanan dari Telupid ke Beluran selepas selesai menjalankan tugas penguatkuasaan bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Shivanathan berkata, Konstabel Mohd Zaini Mohd Radzuan, 25, yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu masih lagi dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Duchess of Kent selepas dipindahkan dari Hospital Daerah Beluran.

“Saya telah melawat Konstabel Mohd Zaini di wad di mana keadaannya kini agak serius ekoran kecederaan yang dialaminya di bahagian bahu kiri dan paha kanan manakala paru-parunya mengalami pendarahan,” katanya sambil menambah, Mohd Zaini masih sedar dan boleh bercakap.

Tunang Mohd Zaini, Rafidah Amat melahirkan rasa syukur kerana bakal suaminya masih selamat walaupun mengalami kecederaan.

“Saya ada menerima pesanan ringkas (SMS) darinya pada jam 4.06 petang yang mana memberitahu dia dalam perjalanan balik ke IPD Beluran sebelum kejadian itu berlaku,” katanya.

Rafidah berkata mereka telah bertemu sebanyak dua kali semasa tunangnya berada di wad, iaitu sekali di Hospital Daerah Beluran dan sekali lagi di Hospital Duchess of Kent.

“Walaupun keadaannya serius tetapi dia masih boleh berbual dan agak sedih juga melihat keadaannya hari ini,” katanya dengan nada perlahan.

Difahamkan, jenazah dua beradik yang menaiki kereta pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan itu iaitu Masniah Jailani, 47, dan Layni Jailani, 45, telah dituntut oleh anggota keluarga mereka dan dibawa balik ke Kampung Sanan, Tongod untuk dikebumikan.

Manakala tiga orang yang cedera dalam kereta pacuan empat roda itu, Arry Gani, 24, Imawati Siru, 20, dan Renawati Siru, 22, dirawat di Hospital Duchess of Kent.

Sebelum kejadian, penumpang pacuan empat roda itu dalam perjalanan balik ke Kampung Sanan dari bandar Sandakan selepas dikatakan membeli persiapan perkahwinan.

Polis cekup empat individu

$
0
0

ANTARA yang ditahan ketika serbuan dilakukan di sebuah premis hiburan berhampiran Damai Plaza.

KOTA KINABALU: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis atas pelbagai kesalahan dalam dua serbuan berasingan ke atas premis hiburan di sekitar ibu negeri malam Khamis.

Kesemua lelaki yang berusia 20 hingga 30an itu ditahan kerana positif dadah setelah gagal dalam saringan ujian air kencing manakala seorang lagi wanita didapati tidak mempunyai sebarang dokumen ketika diperiksa polis.

Serbuan yang dilaksanakan bersempena Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) itu membabitkan pemeriksaan ke atas enam premis hiburan di Damai Plaza dan KK Times Square.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata seramai 40 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi berkenaan yang dilaksana kira-kira dua jam bermula tengah malam itu.

“Serbuan ini antara lain bertujuan mengenal pasti sebarang aktiviti jenayah di premis hiburan sekitar ibu negeri.

“Ia juga adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ops Cantas untuk memerangi jenayah termasuklah aktiviti kongsi gelap,” katanya.

Lima keluarga hilang tempat berteduh

$
0
0

ANGGOTA bomba ketika operasi memadam kebakaran rumah di Kampung Jang, Jalan Istana, kelmarin.

SANDAKAN: Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka duduki musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Jang, Jalan Istana, di sini, tengah hari kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu melibatkan dua buah rumah separuh kekal di mana sebuah daripadanya dikongsi bersama empat keluarga yang membabitkan 22 mangsa.

Menurut seorang mangsa, Samsiah Bone, 48, berkata kebakaran itu yang berlaku pantas menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan barangan rumah dan dokumen penting termasuk kelengkapan persekolahan.

Katanya, rumah berkenaan yang telah mereka diami sejak 20 tahun lepas merupakan milik kakak sepupunya.

Seorang lagi mangsa, Albaina Utal, 29, memberitahu meskipun kehilangan tempat berteduh, namun dia bersyukur kerana keluarga termasuk anaknya yang berusia 1 tahun 8 bulan terselamat.

Katanya, keluarga besar mereka kini menumpang sementara di rumah jiran berhampiran.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan menghantar tiga jentera bersama 13 anggota ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Operasi memadam kebakaran yang diketuai oleh Ketua Operasi, Callixtus Sedalis tamat pada jam 1.23 petang dan pihaknya turut mendapat bantuan daripada PDRM dan JPAM.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Tarik diri jika terjebak kongsi gelap

$
0
0

SHAHELMY ketika melayan sanak saudaranya di kediaman beliau di Taman Bukit Antarabangsa bersempena majlis rumah terbuka Aidilfitri kelmarin.

KOTA KINABALU: Golongan muda belia di negeri ini dinasihatkan untuk segera meninggalkan mana-mana persatuan yang terjerumus dengan kancah jenayah atau kongsi gelap.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Putatan, Ir Shahelmy Yahya berkata golongan itu perlu lebih peka dengan perkara berkenaan memandangkan ia secara tidak langsung akan mempengaruhi masa hadapan individu yang terlibat.

“Kita nasihatkan jika muda mudi sekarang mahu menyertai mana-mana pertubuhan, adalah dinasihatkan untuk menyelidik presiden atau ketuanya terlebih dahulu agar mengelak daripada dieksplotasikan.

“Sehubungan itu, sekiranya anda telah menyertai mana-mana pertubuhan haram atau kongsi gelap seperti mana diumumkan oleh pihak berkuasa baru-baru ini untuk segera menarik diri,” katanya.

Menurut Shahelmy, pihaknya difahamkan bahawa kebanyakkan belia yang telah menyertai kumpulan tersenarai sebagai kongsi gelap di Sabah tidak tahu menahu mengenai status latar belakang persatuan itu sehinggalah ia diumumkan sebagai pertubuhan haram.

“Berdasarkan maklum balas diterima, rata-rata golongan belia di kebanyakan kawasan menyertai kumpulan yang disenaraikan sebagai kongsi gelap itu tidak tahu menahu latar belakang pertubuhan berkenaan.

“Oleh demikan, sebagai pergerakan Pemuda, disarankan belia menyertai pertubuhan yang sah dan tidak melanggar batas undang-undang kerana kita semua merupakan harapan nusa dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berkenaan di majlis rumah terbuka bersempena Aidilfitri di kediamannya di Taman Bukit Antarabangsa, Sepanggar kelmarin.

Sebanyak lima kumpulan di Sabah telah disenaraikan sebagai antara 49 kumpulan kongsi gelap yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 29 Ogos lepas.

Kumpulan terbabit dikenali sebagai Sabah ATAP, Hung Ann, Sui Yuk, Otai dan Borneo Red EMP.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi telah membuat kenyataan bahawa kesemua 49 kumpulan kongsi gelap terbabit dikategorikan sebagai haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Tiga pelajar maut, 17 cedera

$
0
0

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda itu.

Dua kemalangan berasingan di Keningau dan Beaufort

KOTA KINABALU: Tiga pelajar maut, manakala 17 lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan di Keningau dan Beaufort pada petang Ahad dan pagi kelmarin.

Dalam kemalangan pertama di Keningau, dua pelajar lelaki dari dua sekolah menengah maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 5 Jalan Keningau-Tenom, kira-kira jam 3.30 petang pada Ahad.

Sementara tujuh yang lain terdiri pemandu dan penumpang dari kedua-dua kenderaan mengalami cedera parah dan ringan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David, berkata kedua-dua mangsa dikenali Kenedy Koroh, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau 2 dan Agustin Miha, 14, pelajar Tingkatan Dua SMK Gunsanad 2. Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Katanya, kejadian berlaku ketika kenderaan jenis Kia Spectra yang dipandu Darry Langan, 27, dari Kampung Taburi Lahad Datu bergerak dari arah Tenom ke Keningau cuba dipotong oleh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Koroh Puar, 40, dari Kampung Keritan Ulu yang bergerak dari arah sama selepas memotong sebuah kenderaan Kembara.

“Dalam kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Koroh (bapa mangsa) bergesel dengan kenderaan Kia Spectra menyebabkan Kia Spectra terbabas dan terlanggar tembok pagar di sebelah tepi kiri jalan, manakala pacuan empat roda terbabas di tepi jalan sebelah kanan dan masuk dalam parit di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Jenis Cina SRJK(C) Yuk Kong,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau berkata dalam kejadian itu Darry (pemandu Kia Spectra) dan dua penumpang, Capriati Marai, 23, dari Kampung Antalok Tenom dan Caprilvionnie Darry, 3, hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Koroh (pemandu pacuan empat roda) cedera parah serta patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Keningau.

Tiga lagi pelajar perempuan yang merupakan penumpang pacuan empat roda, terdiri dari Shatatasa Koroh, 13, Amikelyndren, 14, dan Rezyana Ronichie Raminsin, 13, mengalami kecederaan ringan.

Robert berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Keluarga terdekat mangsa yang dihubungi memberitahu kenderaan yang dipandu oleh Koroh bergerak dari Kampung Keritan Ulu ke Keningau bertujuan menghantar pelajar balik ke asrama sekolah masing-masing di SMK Keningau 2 dan SMK Gunsanad 2.

Kedua-dua mayat mangsa telah dituntut oleh keluarga masing-masing selepas bedah siasat dijalankan kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi yang juga Penyelia Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Asip Kaibin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang anggota polis yang kebetulan melalui jalan itu pada jam 3.39 petang, sejurus itu mereka bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dan tujuh anggotan berserta sebuah kenderaan Ambulans Hospital Keningau.

Katanya, dua pelajar itu maut di tempat kejadian sementara tujuh mangsa lain yang terdiri seorang wanita sarat mengandung dan tiga wanita remaja serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun serta dua pemandu berkenaan mengalami cedera parah dan ringan pada kejadian itu.

Sementara dalam kejadian kedua di Beaufort, seorang pelajar perempuan maut, manakala 10 lagi cedera, termasuk seorang guru perempuan sebuah prasekolah yang memandu kenderaan malang itu cedera, dalam kejadian di Kilometer 1 Jalan Weston-Beaufort, pagi kelmarin.

Semua pelajar berkenaan belajar di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Weston, manakala guru prasekolah itu mengajar di SK Lingkungan, Beaufort.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurhaini Binte Main, 17, pelajar tingkatan lima SMK Weston, yang disahkan meninggal dunia setibanya di Klinik Kesihatan Weston, manakala 10 yang cedera diberi rawatan di hospital.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi di kawasan dua selekoh, apabila kereta jenis Unser yang membawa 12 pelajar yang dipandu seorang guru perempuan berusia 33 tahun, dikatakan hilang kawalan, lalu terbalik dan terbabas ke bahu jalan.

Kenderaan berkenaan yang dalam perjalanan dari Lumadan ke Weston itu turut ditumpangi anaknya pemandu berkenaan, berusia lima tahun, yang turut cedera dalam kemalangan itu.

Pengetua SMK Weston, Abd Samat Jumat, berkata seramai 11 pelajar SMK Weston terlibat dalam kemalangan berkenaan, iaitu tujuh pelajar perempuan dan empat pelajar lelaki. Seorang daripada pelajar berkenaan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah, DSP Mustaffa Maarof Bin Mustaffa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

“Pada masa sama, saya menasihatkan pemandu dan pemilik kenderaan agar jangan membawa lebih muatan selain sentiasa berhati-hati ketika memandu,” katanya.


Lelaki cedera parah jatuh bangunan

$
0
0

Mangsa terbaring di atas jalan raya sambil ditemani anggota keluarga.

SANDAKAN: Seorang lelaki cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 3 Blok R Bandar Ramai-Ramai petang Isnin.

Mangsa yang berumur lingkungan 30an itu mengalami kecederaan parah akibat kejadian kira-kira jam 5 petang itu.

Ahli anggota keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu kemudiannya menghubungi pihak hospital.

Mangsa yang cedera dikejarkan dengan sebuah kereta ambulans ke Hospital Duchess of Kent untuk menerima rawatan.

Lima suspek seludup 3,815 Liter minyak subsidi ditahan

$
0
0

GELEN minyak bersubsidi yang cuba diseludup disembunyikan di atas bot.

TAWAU: Pasukan 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7RAMD) yang melaksanakan Op Pasir di Pos Pulau Danawan, Semporna berjaya mengekang cubaan lima lelaki menyeludup keluar 3,815 liter minyak bersubsidi ke negara jiran Ahad lepas.

Ketua Penempatan Pos Pulau Danawan, Kapten Ismail Merah, berkata kelima-lima suspek berusia antara 15 hingga 45 tahun diberkas dalam serbuan sekitar jam 6.30 petang ketika sedang memindahkan minyak diesel dan petrol dari bot tempel ke bot pusu.

“Kita menerima maklumat daripada penduduk kampung yang mengesyaki berlaku proses pemindahan minyak bersubsidi antara kedua-dua bot,” katanya dalam satu kenyataan media siaran Pegawai Perhubungan Media Markas Angkatan Tugas Bersama II di sini kelmarin.

Ismail berkata bertindak hasil maklumat diterima, beliau mengetuai sepasukan tujuh orang anggota membuat pemeriksaan dan serbuan selepas mendapati awak-awak bot terlibat sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak bersubsidi berkenaan.

Hasil pemeriksaan itu, beliau berkata pihaknya berhasil merampas 109 gelen berisi minyak bersubsidi dengan anggaran 1,855 liter diesel dan 1,960 petrol dari kedua-dua bot terbabit dan turut menahan kelima-lima suspek.

“Kelima-lima suspek yang ditahan hanya menggunakan ‘Surat Palauh’,” katanya sambil mendedahkan pihaknya mengesyaki kesemua minyak bersubsidi yang dirampas itu hendak diseludup keluar ke Filipina.

Beliau berkata kedua-dua bot yang dinaiki kelima-lima suspek terlibat ditarik ke jeti tentera di Pulau Danawan dan laporan juga sudah diberikan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau menggesa masyarakat yang tinggal di kawasan Operasi Pasir ataupun ketenteraan supaya segera melaporkan kepada pihaknya sebarang aktiviti mencurigakan untuk membolehkan tindakan pantas dapat diambil.

Isuzu Trooper hangus terbakar

$
0
0

Kenderaan Isuzu Trooper yang hangus terbakar dalam kejadian awal pagi kelmarin.

SANDAKAN: Sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper yang diletak di simpang Kg Melayu Batu 10, di sini hangus terbakar dalam satu kejadian awal pagi kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin ketika mengesahkan kejadian itu berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 3.41 pagi.

Sejurus menerima panggilan, pihak bomba mengerahkan sebuah jentera untuk memadamkan kebakaran pada kenderaan terbabit, katanya.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Pengedar filem lucah dan cetak rompak lumpuh

$
0
0

Antara DVD yang diletakkan di dalam kotak berjaya ditemui dalam serbuan berkenaan.

PAPAR: Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Sabah (Kementerian Dalam Negeri) berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran filem lucah dan cetak rompak dengan rampasan lebih 200,000 keping cakera video digital (DVD) bernilai RM1.4 juta di sini kelmarin.

Pengarahnya, Ahmad Hilmi Said berkata rampasan itu adalah susulan kejayaan daripada serbuan ke atas sebuah rumah dua tingkat di Taman Suvuang, di sini yang membawa kepada penemuan DVD-DVD haram berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan tujuh individu termasuk dua wanita yang kesemuanya berusia 30an dalam serbuan yang dilakukan oleh sembilan anggota penguatkuasa kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin.

“Hasil daripada risikan selama tiga minggu dan maklumat orang awam, kita akhirnya berjaya mengesan sebuah rumah dua tingkat di lokasi terbabit yang dipercayai terlibat dalam aktiviti haram itu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kita telah menemui 200,000 keping DVD termasuklah filem lucah dan cetak rompak yang tidak mempunyai kelulusan di bawah Lembaga Penapisan Filem.

“Kita turut menahan tujuh individu berusia 30an untuk membantu siasatan selain merampas kira-kira 30 unit bahan yang dipercayai digunakan bagi memproses DVD cetak rompak di lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kebanyakan filem yang dirampas adalah filem melayu KL Gangster 2 yang belum ditayangkan lagi di pawagam seluruh negara.

“Filem ini sebenarnya akan ditayangkan pada bulan Oktober namun kita dapati ianya telah dijual dalam pasaran gelap,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Ahmad Hilmi turut mempercayai rampasan itu merupakan yang terbesar di negeri Sabah pada tahun ini.

Lima Penyeludupan barangan, haiwan bernilai hamper RM100,000 gagal

$
0
0

SEBANYAK 4,800 kotak rokok pelbagai jenama yang ditinggalkan di pesisir pantai Batu 6, Jalan Apas dirampas kerana disyaki diseludup untuk pasaran tempatan.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau mematahkan lima cubaan penyeludupan masuk pelbagai barangan dan haiwan yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000 dalam tempoh dua hari di sekitar perairan daerah ini antara Isnin dan Selasa lepas.

Menurut Komander PPM (Wilayah 4) Sabah, ACP Mohammad Madun, pasukannya merampas 4,800 kotak rokok pelbagai jenis, 48 tin produk kecantikan, sebuah parabola, dua ekor ayam serta dua ekor itik yang disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Kes pertama, kedua dan ketiga melibatkan rampasan di tiga feri penumpang berasingan antara jam 12.40 tengah hari dan 1.20 petang pada Isnin lepas melibatkan rampasan ayam sabung, alat parabola jenama LG SAT dan dua ekor itik hidup,” katanya di sini kelmarin.

Mohammad berkata ketiga-tiga serbuan itu dilakukan selepas kesemua feri penumpang berkenaan baharu sahaja tiba dari Nunukan, Kalimantan Timur, Indonesia di kawasan laut Tanjung Batu di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rampasan rokok dibuat pada hari keesokannya kira-kira jam 3 pagi di pesisir pantai Batu 6 Jalan Apas apabila sepasukan PPM Tawau bertugas mengesan bungkusan hitam ditinggalkan di kawasan terbabit.

“Kes kelima melibatkan rampasan produk kecantikan jenama Herocyn di dalam sebuah feri penumpang yang baharu sahaja tiba dari negara jiran di kawasan Pelabuhan Tawau kira-kira jam 11.50 pagi di kargo,” katanya.

Beliau berkata pihaknya merampas kesemua produk berkenaan kerana tidak mempunyai label daftar kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dan tidak ada kebenaran untuk dibawa masuk ke negara ini.

Menyentuh mengenai tindakan lanjut pihaknya terhadap kesemua rampasan terlibat, beliau berkata kesemua barangan dan haiwan terbabit dibawa balik ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes rampasan ayam dan itik disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Haiwan 1962, set parabola disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, sementara rokok pula menerusi Seksyen 135 Akta Kastam sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Kes membabitkan produk kecantikan pula disiasat mengikut Seksyen Akta Farmasi (Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik Peraturan 18 A) dan diserahkan kepada Unit Farmasi KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Mohammad, tidak ada sebarang tangkapan dibuat dalam kelima-lima kes berkenaan kerana tidak ada sebarang individu ataupun pihak berkaitan yang tampil mengaku sebagai pemilik barangan dan haiwan yang dirampas pihaknya.

Viewing all 2674 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>